BARCELONA, 31 Okt – Pendakwa Sepanyol semalam menuntut pemimpin pemisah Catalonia yang disingkirkan supaya didakwa dengan pemberontakan selepas parlimennya mengisytiharkan kemerdekaan, apabila peraturan yang dikenakan oleh Madrid di rantau berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Dalam satu perkembangan baru, presiden serantau yang disingkirkan Carles Puigdemont, yang mengadakan referendum kemerdekaan pada 1 Oktober yang mencetuskan krisis paling teruk di negara dalam beberapa dekad, dikatakan telah berkunjung ke Brussels, walaupun masih tidak jelas kenapa di tengah desas-desus mengatakan beliau mungkin berusaha mendapatkan perlindungan.
Menambah risiko dalam perbalahan, ketua pendakwa Sepanyol berkata beliau berusaha mengenakan dakwaan termasuk pemberontakan, yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun, dan hasutan ke atas pemimpin Catalonia yang dipecat oleh kerajaan pusat pada Jumaat.
Jose Manuel Maza berkata mereka telah ‘mencetuskan krisis institusi yang membawa kepada deklarasi kemerdekaan pada 27 Oktober yang menghina perlembagaan kami. “Sekarang mahkamah perlu memutuskan sama ada untuk mengenakan dakwaan atau tidak.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/a-10p5-rubie_011117.jpg)
Puigdemont menegaskan keputusan referendum kemerdekaan, diharamkan oleh Mahkamah Perlembagaan Sepanyol, memberikan parlimen rantau satu mandat pada Jumaat untuk mengumumkan bahawa ia sedang berpisah daripada Sepanyol.
Ekoran deklarasi ini, Madrid memecat pemimpin Catalonia dan mengawal rantau separa autonomi di bawah ‘pilihan nuklear’ yang tidak pernah digunakan sebelum ini dalam perlembagaan.
Perdana Menteri Sepanyol Mariano Rajoy mengadakan pilihan raya kilat pada 21 Disember untuk mengganti parlimen Catalonia dalam satu usaha mendadak untuk menghentikan kempen pemisah.
Dengan bahasa dan budaya sendiri, Catalonia menyumbang kepada satu perlima daripada ekonomi negara zon euro dan mempunyai tahap autonomi yang tinggi ke atas sektor utama seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan polis. – AFP