Monday, March 24, 2025
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendakwaan pertama ingkar larangan dine-in

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Seorang wanita warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan di bawah Seksyen 62A (2) Akta Penyakit Berjangkit, Bab 204 iaitu gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan untuk tidak memberikan perkhidmatan dine-in kepada pelanggan.

    Kes berkenaan adalah yang pertama dibawa oleh pihak pendakwa di bawah pindaan baharu Akta Penyakit Berjangkit.

    Pertuduhan menyebut, tertuduh yang merupakan wanita berusia 62 tahun didakwa menawarkan perkhidmatan dine-in kepada orang awam di sebuah flat di Mabohai pada 21 Mac 2020, dua hari selepas arahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

    Dalam prosiding, pihak pendakwa membuat permohonan untuk pertuduhan dibacakan dan pengakuan tertuduh direkodkan namun tertuduh memohon untuk pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin.

    Permohonan tertuduh untuk mendapatkan jurubahasa Mandarin dibenarkan Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar yang turut membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin $2,000 atau seorang penjamin tempatan.

    Kes akan disebut semula esok, 25 Mac. Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Shamshuddin bin Kamaluddin.

    Pejabat Peguam Negara mengingatkan orang ramai mengenai arahan Kementerian Kesihatan untuk kesemua premis restoran makanan dan minuman supaya tidak menawarkan perkhidmatan dine-in kepada pelanggan untuk mengekang penyebaran COVID-19 di negara ini.

    Sesiapa yang gagal untuk mematuhi mana-mana arahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, boleh didakwa dan didenda tidak melebihi $10,000, penjara untuk tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda