SAN FRANCISCO, 29 OKT – Apple semalam melaporkan bahawa keuntungannya dalam suku yang baru berakhir meningkat susulan pendapatan besar yang diraih namun masih kurang daripada jangkaan penganalisis.
Pengeluar iPhone itu berkata pendapatan bersihnya mencecah AS$20.5 bilion, rekod tinggi untuk suku yang berakhir pada September.
“Kami mencatat rekod pendapatan baharu dalam kesemua segmen geografi kami dan kategori produk meskipun ketidakpastian berterusan dalam persekitaran makro,” kata ketua pegawai kewangan Apple Luca Maestri.
Saham Apple merosot lebih 3 peratus kepada AS$146.75 dalam perniagaan selepas pasaran susulan pengeluaran penyata pendapatan.
Apple pada bulan lalu melancarkan produk baharu iPhone untuk musim membeli-belah percutian akhir tahun.

Produk baharu termasuk iPhone 13 Mini, yang dijual dari harga AS$700 dan iPhone 13 Pro Max, yang berharga AS$1,100.
Apple tidak mungkin memenuhi sasaran pengeluaran untuk iPhone baharunya sebelum cuti disebabkan kekurangan cip elektronik global, menurut laporan terbaharu.
Firma itu telah merancang untuk mengeluarkan 90 juta iPhone 13 sebelum akhir tahun, namun terpaksa berpuas hati dengan 80 juta kerana pembekal Broadcom dan Texas Instruments gagal memenuhi permintaan, menurut Bloomberg News, memetik sumber yang rapat dengan perkara itu.
Ketua eksekutif Apple, Tim Cook mengingatkan semasa laporan pendapatan suku pada akhir Julai lalu bahawa sekatan rantaian bekalan akan memberikan impak yang lebih besar ke atas suku sekarang daripada tiga bulan sebelumya.
Beliau berkata kekurangan cip elektronik menjejas seluruh industri, bukan sahaja Apple, dan berpunca daripada permintaan yang lebih tinggi daripada dijangka. – AFP