Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendapatan Huawei meningkat 3%

    BEIJING, 11 OGOS — Syarikat gergasi teknologi China, Huawei hari ini melaporkan pendapatannya meningkat tiga peratus berbanding setahun sebelumnya pada separuh pertama 2023.

    Margin keuntungannya meningkat meskipun sekatan dikenakan untuk menyekat akses kepada cip pemproses Amerika Syarikat (AS) dan teknologi lain.

    Jenama teknologi global pertama China telah bertindak balas terhadap sekatan AS yang merosakkan jenama telefon pintarnya dengan menumpukan kepada penjualan peralatan rangkaian kepada hospital, pelabuhan, kereta elektrik dan pelanggan industri lain yang dipercayai kurang terdedah kepada sekatan.

    Pendapatan dalam enam bulan hingga Jun meningkat sebanyak 3.1 peratus kepada AS$43.1 bilion, kata Huawei Technologies Ltd.

    Ia tidak memberikan angka keuntungan tetapi berkata margin keuntungannya ialah 15 peratus, iaitu kira-kira AS$6.5 bilion berbanding margin 4.3 peratus pada suku pertama tahun ini.

    Orang ramai ketika berkunjung ke kedai Huawei di Beijing pada 28 April. – AP

    Jualan unit infrastrukturnya ialah AS$23.2 bilion, menurut Huawei. Jualan kepada pengguna pula berjumlah AS$14.3 bilion.

    Jualan oleh unit automotif baharu, yang membekalkan rangkaian dan teknologi lain untuk kereta elektrik mencecah AS$138.6 bilion.

    Huawei mengalami kesulitan selepas Presiden Donald Trump memutuskan akses kepada cip pemproses AS dan teknologi lain dalam pertikaian dengan Beijing berkenaan teknologi dan keselamatan.

    Pegawai Amerika berkata syarikat itu menimbulkan risiko keselamatan dan mungkin memudahkan pengintipan China, yang dinafikan Huawei.

    Pada 2020, pengerusi ketika itu, Eric Xu berkata syarikat itu ‘kembali kepada perniagaan seperti biasa’ walaupun terdapat sekatan.

    Huawei ialah pembuat peralatan rangkaian global terbesar untuk syarikat telefon dan internet. Ia menjual jenama telefon pintar Honor yang berharga lebih rendah pada 2020. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda