Friday, September 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendapatan Huawei meningkat 9 peratus

    BEIJING, 29 DIS – Syarikat teknologi gergasi China, Huawei, hari ini berkata ia ‘kekal bertahan’ daripada sekatan Amerika Syarikat (AS) ketika syarikat itu mengumumkan peningkatan hampir 9 peratus dalam pendapatan bagi tahun 2023, tahun yang menyaksikan ia mengejutkan Washington dengan mengeluarkan telefon pintar mewah.

    Syarikat yang berpangkalan di Shenzen itu berada di tengah-tengah kebuntuan tegang antara China dan AS, dengan Washington memberi amaran peralatan syarikat itu mungkin digunakan untuk pengintipan, dakwaan yang dinafikan oleh syarikat itu.

    Sekatan sejak 2019 telah menyekat firma itu daripada mendapatkan akses kepada komponen dan teknologi buatan AS, memaksanya untuk mempelbagaikan sumbernya.

    “Selepas bertahun-tahun berusaha keras, kami berjaya kekal bertahan,” kata pengerusi bergilir, Ken Hu dalam ucapan sempena Tahun Baharu yang diterbitkan hari ini.

    Pada 2023, syarikat itu menjangkakan pendapatan lebih daripada 700 bilion yuan (AS$99.2 bilion), kata Hu. Ia merupakan peningkatan hampir 9 peratus berbanding tahun lalu.

    Tetapi pendapatan kekal lebih rendah berbanding 891.4 bilion yuan yang diraih pada 2020, tahun sebelum syarikat mengumumkan kejatuhan mendadak dalam perolehan disebabkan oleh sekatan AS.

    Walau bagaimanapun, firma itu dilihat berjaya bangkit, dengan mengumumkan perkembangan jualan yang sederhana bagi sembilan bulan pertama tahun ini pada Oktober.

    “Keyakinan bersama telah membantu kita mematahkan sekatan dan bergerak ke hadapan bersama,” kata Hu. – AFP

    Logo Huawei dapat dilihat semasa Persidangan Kecerdasan Buatan (WAIC) di Shanghai pada 6 Julai 2023. Huawei menjangkakan peningkatan hampir 9 peratus dalam pendapatannya pada 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda