BEIJING, 12 OGOS – Pendapatan Huawei merosot 5.9 peratus dalam separuh tahun pertama 2022, menurut angka syarikat hari ini, ketika pandemik COVID dan persaingan perniagaan Amerika Syarikat (AS)-China menjejas jualan.
Syarikat gergasi telekom China itu membawa masuk 301.6 bilion yuan (AS$44.8 bilion), menurut data, kemerosotan sebanyak 5.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Sementara perniagaan peranti kami terkesan teruk, perniagaan infrastruktur ICT kami mengekalkan pertumbuhan stabil,” kata Ken Hu, pengerusi Huawei dalam satu kenyataan.
Permintaan global yang lemah berpunca daripada pandemik, serta penyenaraian hitam firma oleh AS pada 2019 telah menjejas rantaian bekalan sekali gus perniagaan peranti syarikat, yang menjual telefon pintar dan komputer riba, beritahu jurucakap Huawei kepada AFP.
Dalam suku kedua pula, Huawei kehilangan kedudukannya dalam kalangan lima penjual telefon pintar teratas global, menurut pembekal data industri Canalys.
Pertumbuhan keuntungan untuk separuh tahun pertama merosot kepada lima peratus daripada 9.8 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu. – AFP
