Pendapatan industri muzik tempatan mencatat rekod baharu apabila meningkat sebanyak 11.5 peratus sepanjang tahun lalu.
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim berkata peningkatan tersebut merupakan perkara membanggakan kerana ia berjaya memecah rekod sejak 1996.
Jelas Rosmin, industri muzik tempatan mencatatkan pendapatan sebanyak RM339 juta iaitu 11.5 peratus daripada RM304 juta yang dilaporkan pada tahun sebelumnya.
“Ini merupakan pendapatan tertinggi dalam sejarah industri muzik tempatan dan memecah rekod jumlah pendapatan tertinggi iaitu RM315 juta pada 1996.
“Pencapaian luar biasa ini disumbang oleh peningkatan 14 peratus dalam hasil pendapatan digital dan 7.6 peratus hasil kutipan royalti tiga Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Rosmin menjelaskan perkara itu menerusi satu kenyataan media kepada mStar pada Selasa.
Dalam pada itu, Rosmin memaklumkan tahun 2024 turut menyaksikan beberapa kejayaan penyanyi apabila menguasai carta tempatan dan antarabangsa menerusi lagu-lagu hit mereka.
Ini termasuk penyanyi Ernie Zakri dan Ade Govida berjaya muncul sebagai lagu tempatan paling tinggi distrim menerusi lagu Masing-masing.
“Manakala Insomniacks pula muncul sebagai artis tempatan paling tinggi distrim pendengar.
“Tidak ketinggalan Firdhaus yang merupakan artis Cina tempatan paling tinggi distrim,” katanya.
Mengulas mengenai penganjuran Anugerah Industri Muzik (AIM), Rosmin memberitahu edisi ke-24 bakal dianjurkan pada tahun ini. – Agensi
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/6-muzik_f.jpeg)