Saturday, November 30, 2024
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendapatan lumayan, mazli tidak kesal ternak keli

    KUALA LUMPUR – Mazli Mashudi pernah merantau selama dua tahun ke Australia antaranya bekerja dalam bidang perbankan tetapi memilih untuk mengusahakan ternakan ikan keli apabila kembali ke tanah air.

    Meskipun bermandikan keringat, Mazli, 39, berasa puas dengan hasil perniagaan ikan keli yang diusahakannya di tanah seluas kira-kira empat hektar di Kampung Simpang 5, Sungai Besar (Selangor).

    Berasal dari Sungai Besar, Selangor, bapa kepada lima orang cahaya mata ini juga pernah berniaga ikan dan ayam di pasar borong Selayang sebelum membuat keputusan untuk menternak ikan keli pada tahun 2016.

    “Ibu saya Fauziah Jaafar, 66, dan bapa Mashudi Wahid,70, (sudah meninggal dunia) pun pernah mengusahakan bidang ternakan iaitu udang air masin pada tahun 2012. Saya tak banyak bantu kerana saya masih bersekolah dan kemudiannya tinggal di asrama. Penat lelah emak dan ayah adalah inspirasi saya untuk menceburi bidang ternakan kemudiannya.

    “Saya memilih untuk ternakan ikan keli berbanding ternakan lain kerana ikan keli senang diternak dan mudah dipasarkan. Ternakan ikan keli mampu pergi jauh di sebabkan orang kita (Melayu Islam) yang ternak selain memperoleh permintaan sangat tinggi,” kata Mazli yang juga pernah bekerja di Dianella, Perth, Australia dalam bahagian ternakan ladang, kepada Bernama baru-baru ini.

    Mazli memulakan perusahaan penternakan ikan keli dengan modal sebanyak RM50,000 dan tanah yang digunakan untuk membuat kolam ikan terletak di tanah persendirian di Kampung Simpang 5, Sungai Besar (Selangor).- Bernama
    Orang ramai yang berkunjung ke kolam ikan di Kampung Simpang 5, Sungai Besar (Selangor).- Bernama
    Kolam ikan keli yang diusahakan oleh Mazli.- Bernama

    Bermula dengan modal RM50,000

    Mazli memulakan perusahaan penternakan ikan keli dengan modal sebanyak RM50,000 dan daripada jumlah itu, RM20,000 daripada ibu dan ayahnya. Tanah yang digunakan untuk membuat kolam ikan terletak di tanah persendirian di Kampung Simpang 5, Sungai Besar (Selangor).

    Bukan itu sahaja, beliau turut mewarisi semangat berniaga serta ilmu dan pengalaman ayah dan ibunya dalam bidang ternakan.

    Menurut Mazli, berbanding ternakan lain, perniagaan ikan air tawar sangat berbaloi kerana menerusi usaha berkenaan banyak cambahan peluang untuk menambah pendapatan.

    Setakat ini beliau mampu mengeluarkan kira-kira 100 kilogram ikan keli sehari dengan anggaran 3,000 kilogram ikan keli dewasa sebulan serta 80,000 ekor keli yang bersaiz 12.7cm dalam tempoh sebulan.

    “Harga jualan bagi ikan keli yang matang adalah RM8.50 sekilogram manakala untuk ikan saiz 12.7cm dijual 50 sen seekor,” katanya yang memperoleh jualan kasar kira-kira RM65,000 sebulan.

    Menurut Mazli, hasil ternakannya akan dipasarkan kepada pelanggan dengan pelbagai cara iaitu selain pelanggan datang terus ke kolam ternakannya, beliau turut menjual secara dalam talian.

    “Kami juga menjual ikan ini di kedai berhampiran, pasar pagi, kantin, dewan makan sekolah dan restoran. Selain itu kami turut mendapat tempahan daripada pihak katering serta mereka yang ingin mengadakan majlis kenduri perkahwinan,” tambahnya.

    Kongsi pengalaman

    Berkongsi cara ternakan keli, Mazli berkata perkara asas yang perlu ada semestinya kawasan ternakan, jenis kolam, sumber air, benih ikan, makanan ikan, penjagaan ikan serta prospek pasaran.

    “Dalam bidang ini untung rugi adalah bergantung kepada cara kita ternak. Saya kongsikan apa yang saya sudah jalankan di dalam lima kolam simen dan kanvas. Sehingga kini kami sudah menuai hasil ternakan ikan keli sebanyak 22 kali.

    “Pada mulanya saya ternak ikan dahulu iaitu ternak 10,000 ekor ikan keli saiz 12.7cm dalam satu kolam berkeluasan 5.5 meter x 4.9 meter, dengan ketinggian air setinggi 0.6 meter. Biasanya tempoh ternak adalah dalam 50 hingga 60 hari sehingga ikan keli itu matang,” katanya.

    Bagi kos anak ikan, Mazli memperuntukkan RM5,000 untuk 10,000 ekor anak ikan (seekor 50 sen). Manakala anggaran makanan untuk sehari adalah 8 kilogram termasuk pallet, kepala bilis dan roti. Makanan itu diberikan dua kali sehari.

    Daripada ternakan ikan, Mazli dapat mencambah perniagaan yang turut meningkatkan hasil pendapatannya.

    “Selain menjual ikan, saya turut berpeluang menjual kolam ikan kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan ini sebagai sumber rezeki. Saya juga menyediakan kursus kepada mereka yang berminat ingin meneroka bidang ini,” katanya.

    Di sebalik kejayaan ada cabaran

    Mazli turut berkongsi antara pahit getir yang dihadapi sepanjang mengusahakan perniagaan ikan air tawar iaitu masalah kekurangan bekalan ikan berkenaan semasa tibanya musim cuti.

    “Selain itu ada masa tertentu ikan banyak yang mati kerana ia juga bergantung kepada keadaan cuaca. Saya juga berhadapan dengan kekangan tenaga mahir untuk menguruskan kursus ternakan,” jelasnya.

    Di sebalik cabaran berkenaan, usahawan muda ini tetap optimis dengan perniagaannya dan akan sentiasa memberi fokus kepada pembenihan ikan agar pengeluaran ikan lebih banyak diperoleh.

    “Sasaran kami adalah untuk melengkapkan segala kemudahan yang ada di kolam kami untuk memberi perkhidmatan yang sempurna kepada penternak baharu yang datang ke kolam kami untuk berkongsi ilmu,” katanya.

    Mengendalikan sendiri kursus ternakan, Mazli berkata beliau sangat teruja apabila ilmu yang dimilikinya dikongsi bersama mereka yang ingin menambah pendapatan dan membuka peluang untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang ternakan ikan keli berdasarkan potensi perkembangan perniagaan itu yang amat membuahkan hasil.

    Setakat ini beliau menganjurkan 20 kali kursus ternakan ikan air tawar untuk orang awam serta 27 kali kepada mereka yang datang secara berkumpulan.

    “Bagi orang awam, biasanya sekitar 50 hingga 60 orang untuk setiap kali penyertaan. Bagi berkumpulan pula kebanyakan yang menyertai adalah dari agensi serta jabatan kerajaan seperti Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Jabatan Perikanan, Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA),Kementerian Kesihatan serta universiti awam.

    “Selain itu pihak syarikat swasta turut hadir menyertai kursus ternakan kendalian saya selain saya turut aktif memberikan kursus ini kepada pelajar, murid sekolah, pelajar tahfiz serta kanak-kanak tabika,” katanya menambah hampir 2,000 peserta sudah mengikuti program di kolam ternakan yang diusahakannya.

    Pemangkin dorongan

    Di samping inspirasi ayah dan ibu, Mazli turut mendapat banyak dorongan daripada seorang sahabat yang turut menceburi bidang yang sama.

    “Insan yang banyak memberi dorongan dan kekuatan kepada saya adalah Mohd Hafiz Nordin dari ARC (Aquaculture Resource Centre). Syarikat beliau pengeluar benih ikan air tawar dan mempunyai kolam terbesar di negeri Selangor. Kami selalu berbincang untuk hala tuju dan untuk lebih maju dalam bidang ini,” katanya.

    Bagi mereka yang ingin menceburi bidang ternakan, Mazli mempunyai beberapa nasihat dan ia mesti dimulai dengan minat terlebih dahulu.

    “Nasihat saya untuk mereka yang mahu jadikan bidang ternakan sebagai sumber mata pencarian perlu tanam minat terlebih dahulu dan baharulah mengorak langkah. Jangan bermula dengan bilangan yang besar sebab hendak jaga benda hidup ini perlukan lebih pengalaman berbanding kelayakan sijil.

    “Tidak perlu fokus pada jualan borong sebab kerja lebih banyak tetapi untung sedikit.

    “Nampak hebat tetapi sebenarnya untung nipis. Jangan sedih kalau ikan mati, sebaiknya cari kaedah paling sesuai untuk ternak ikan,” kongsinya.

    Beliau berkata, mereka yang berminat boleh bermula mengikuti kursus ternakan kerana dari situ mereka boleh berjumpa dengan ramai pemain industri yang mempunyai minat sama.

    “Menternak ikan tidak boleh bersendirian, perlu ada pasukan untuk segala perbincangan berkaitan ikan.

    “Semoga apa yang kita usahakan hari ini, memberi kebaikan untuk masa hadapan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda