Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendapatan suku tahunan Baidu merosot

    BEIJING, 21 OGOS – Gergasi internet China, Baidu, melaporkan penurunan dalam hasil suku tahunannya kelmarin, didorong oleh kemerosotan berterusan dalam perbelanjaan domestik, ketika syarikat itu meningkat pelaburannya dalam kecerdasan buatan (AI).

    Baidu, yang berpangkalan di Beijing dan mengendalikan enjin carian terbesar di China, memperoleh sebahagian besar pendapatannya daripada iklan dalam talian, menjadikan prestasinya mudah terdedah kepada turun naik corak perbelanjaan negara itu.

    Syarikat itu merekodkan pendapatan sebanyak 32.7 bilion yuan (AS$4.56 bilion) pada suku kedua 2025, menurun empat peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut kenyataan kepada Bursa Saham Hong Kong.

    Pendapatan daripada pemasaran dalam talian sepanjang tempoh tersebut merosot 15 peratus kepada 16.2 bilion yuan berbanding tahun sebelumnya, menurut kenyataan itu.

    China kini berdepan prospek ekonomi yang tidak menentu, dengan pengguna berhati-hati di tengah-tengah kemerosotan pasaran hartanah yang berlarutan, kadar pengangguran tinggi serta ketegangan perdagangan dengan Washington.

    Jualan runcit penanda aras utama permintaan pengguna di China juga menunjukkan pertumbuhan lebih perlahan berbanding jangkaan pada Julai, menurut data rasmi yang dikeluarkan Jumaat lalu.

    Selepas bertahun-tahun peraturan ketat terhadap sektor teknologi China yang luas, Beijing kini berharap kemajuan terkini dalam AI dapat menjadi pemangkin untuk merangsang semula ekonomi domestik.

    Baidu kelmarin turut melaporkan keuntungan bersih sebanyak 7.3 bilion yuan pada suku kedua meningkat 33 peratus berbanding tahun lalu, namun menurun lima peratus berbanding suku sebelumnya.

    Syarikat itu melabur besar dalam teknologi AI, meletakkannya dalam perlumbaan sengit bersama gergasi teknologi China lain seperti Tencent, Alibaba dan ByteDance. – AFP

    Seorang pengunjung melintasi reruai Baidu di kawasan pameran Persidangan AI Dunia 2025 (WAIC) dan Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Tadbir Urus AI Global pada 29 Julai 2025 di Shanghai, China.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda