Thursday, April 17, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendapatan transaksi e-dagang melonjak 30 peratus

    KUALA LUMPUR, 6 JULAI – Pendapatan daripada transaksi e-dagang bagi suku pertama 2021 melonjak 30.0 peratus tahun ke tahun kepada RM254.6 bilion daripada RM195.9 bilion pada suku pertama 2020, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

    Ketua Perangkawan Negara Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata pada 2020, pendapatan daripada e-dagang meningkat sebanyak 32.7 peratus kepada RM896.4 bilion berbanding 2019.

    Pendapatan e-dagang oleh pertubuhan pada 2019 merekodkan kadar pertumbuhan 22.8 peratus kepada RM675.4 bilion berbanding 2017.

    Mohd Uzir berkata pendapatan e-dagang daripada segmen pasaran tempatan meningkat 21.7 peratus kepada RM591.8 bilion, manakala pasaran antarabangsa naik 31.9 peratus kepada RM83.5 bilion.

    Pendapatan e-dagang mengikut jenis pelanggan melalui perniagaan kepada perniagaan (B2B) meningkat 13.0 peratus kepada RM449.6 bilion dan diikuti perniagaan kepada pengguna (B2C) naik 53.3 peratus kepada RM194.0 bilion.

    Sementara itu, perniagaan kepada kerajaan (B2G) turut meningkat 55.7 peratus kepada RM31.8 bilion.

    Beliau berkata pada 2019, perbelanjaan e-dagang turut merekodkan pertumbuhan 14.8 peratus kepada RM301.5 bilion.

    “Perbelanjaan e-dagang bagi pasaran tempatan meningkat 15.3 peratus kepada RM269.6 bilion manakala perbelanjaan pasaran antarabangsa meningkat 10.8 peratus kepada RM31.9 bilion,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda