LABUAN, 12 MEI – Jumlah pendaratan ikan di pulau bebas cukai ini meningkat sedikit iaitu 0.93 peratus kepada 3.3 juta tan metrik dengan nilai RM15.8 juta sepanjang tahun lepas, menurut Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Labuan, Fadhilah Azib.
Beliau berkata, peningkatan itu menunjukkan terdapat produktiviti dalam kalangan nelayan ditambah dengan keadaan cuaca yang baik sepanjang tahun lepas, yang membolehkan nelayan turun ke laut. “Kita berharap momentum berkenaan akan berterusan tahun ini dan LKIM akan terus memberi sokongan terhadap golongan nelayan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Menurut Fadhilah, tempat pendaratan ikan di Labuan adalah di Kompleks LKIM Kiamsam dan jeti LKIM lain di beberapa kampung.
Beliau berkata, sebahagian daripada ikan yang ditangkap adalah untuk kegunaan domestik manakala bakinya dihantar ke Sabah dan Sarawak selain dieksport ke Brunei. – Bernama