TIJUANA, 30 April – Sekurang-kurangnya 150 pendatang Amerika Tengah tiba di sempadan di antara Mexico dan Amerika Syarikat (AS)semalam, bertekad untuk mendapatkan perlindungan daripada AS.
Kumpulan tersebut tiba di bandar sempadan Mexico Tijuana, sebahagian daripada karavan yang terdiri daripada 1,000 orang yang bertolak dari sempadan selatan Mexico pada 25 Mac.
“Kami masih perlu meminta perlindungan dan kami berharap kerajaan AS akan membuka pintu,” beritahu Reyna Isabel Rodriguez, 52, kepada AFP selepas berkunjung dari El Salvador bersama dua cucunya.
“Apa yang membimbangkan saya adalah cucu saya. Saya tidak mahu berpisah dengan mereka,” katanya.
Beberapa kumpulan menyanyi lagu kebangsaan Honduras dan kira-kira 30 di antara mereka memanjat pagar sempadan dan menjerit slogan mengenai pergelutan pendatang.
“Kami mahu memberitahu presiden Amerika Syarikat bahawa kami bukan penjenayah, kami bukan pengganas, supaya beliau memberikan kami peluang untuk hidup tanpa ketakutan. Saya tahu Tuhan akan menyentuh perasaan beliau,” kata Irineo Mujica daripada kumpulan hak pendatang Pueblo Fronteras (Orang Tanpa Sempadan) yang menganjurkan penghijrahan tersebut.
Ejen peronda sempadan boleh dilihat mengawasi pendatang dari kawasan AS semalam.
Washington telah mengugut akan menahan pendatang jika mereka cuba menceroboh masuk dari sempadan. – AFP