Sunday, June 30, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Pendatang diseludup masuk ke Itali guna kereta mewah

    ROM, 27 JUN – Polis Itali berkata kelmarin mereka telah menumpaskan sindiket pemerdagangan yang menggunakan kereta mewah untuk menyeludup pendatang Cina ke Itali, sebelum merampas pasport mereka dan memperlakukan mereka seperti hamba.

    Penyeludup meminta pendatang berkenaan menyamar sebagai ‘warga Asia yang tidak mencurigakan, berpakaian kemas, tidak banyak bagasi, mengembara dengan kereta berkuasa tinggi dan mewah, dipandu oleh warga Cina yang telah tinggal di Itali selama bertahun-tahun dan bercakap bahasa Itali,’ kata polis dalam satu kenyataan.

    Penyiasat dihubungi mengenai sindiket tersebut selepas seorang warga Cina ditahan di sempadan antara Itali dan Slovenia pada April semasa pemeriksaan rutin dan didapati membawa empat warga Cina tanpa dokumen.

    Siasatan mendapati ‘wujudnya aliran berterusan warga Cina dalam kumpulan kecil, yang diterbangkan ke sempadan luar Eropah di negara (terutamanya Serbia) di mana mereka masuk dengan pengecualian visa,” kata kenyataan itu.

    Pendatang yang diseludup berlindung selama satu atau dua hari di sebuah rumah berhampiran Venice sebelum dibawa sama ada ke kawasan Itali atau negara Kesatuan Eropah yang lain seperti Perancis dan Sepanyol.

    Penyeludup merampas pasport mereka di rumah perlindungan dan ‘seterusnya, mereka terdedah kepada eksploitasi yang teruk sehingga hutang yang ditanggung untuk perjalanan itu telah dibayar balik,’ menurut kenyataan.

    Pendatang itu ditahan “tanpa sebarang kemungkinan hidup bebas atau separuh bebas, tanpa bantuan perubatan, tanpa apa-apa kecuali katil dan tempat untuk bekerja selama-lamanya,” kata polis, menyifatkan ia sebagai sejenis ‘perhambaan’.

    Dalam operasi itu, polis menahan sembilan orang yang didakwa terbabit dalam sindiket pemerdagangan dan mengenal pasti 77 pendatang tanpa izin, ‘kebanyakannya wanita dan beberapa kanak-kanak bawah umur antara 15 dan 18 tahun’. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China keluarkan amaran merah susulan hujan lebat

    BEIJING, 30 JUN - China telah mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu, kelmarin. Ia juga memberi amaran tentang kemungkinan bencana...