BAITULMAQDIS, 27 FEB – Puluhan pendatang Israel mengamuk dengan membakar kereta dan rumah di utara Tebing Barat, susulan pendatang Yahudi dibunuh oleh seorang lelaki warga Palestin.
Pakar perubatan Palestin berkata, seorang lelaki terbunuh manakala empat lagi cedera parah dalam keganasan paling teruk yang dilakukan oleh pendatang berkenaan sejak beberapa dekad.
Tembakan maut dan amukan yang berlaku tengah malam itu menimbulkan keraguan mengenai pengisytiharan oleh Jordan bahawa Israel dan Palestin berjanji untuk tidak melakukan keganasan selama setahun.
Media Palestin berkata, dalam kejadian itu sebanyak 30 rumah dan kereta dibakar. Gambar dan video yang dipaparkan di media sosial menunjukkan kebakaran besar itu membabitkan seluruh bandar Hawara.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata seorang lelaki berusia 37 tahun terbunuh akibat terkena tembakan oleh Israel.
Perkhidmatan perubatan Bulan Sabit Merah Palestin berkata dua lagi individu cedera ditembak, manakala seorang ditikam dan seorang lagi dipukul dengan batang besi.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengutuk dan menyifatkan kejadian itu sebagai ‘tindakan pengganas yang dilakukan oleh pendatang di bawah perlindungan pasukan keselamatan,’ katanya.
“Kerajaan Israel perlu bertanggungjawab sepenuhnya,” tambahnya. – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/02/P13-3-Pendatang_28022023.jpg)