Thursday, April 17, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendawaian elektrik melampau punca kereta terbakar

    SIBU, 8 APRIL – Kebanyakan kes kebakaran kereta di jalan raya di Sarawak berpunca daripada sistem pendawaian elektrik mengalami beban melampau akibat pengubahsuaian dan pemasangan aksesori berlebihan.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Jamri Masran berkata apabila sistem pendawaian elektik mengalami beban melampau suhu menjadi sangat tinggi serta cepat merebak, dan seterusnya berlakunya kebakaran.

    “Biasanya daripada statistik dan penemuan kita, kalau kereta terbakar punca berlaku kebakaran adalah berkaitan isu elektrikal. Jarang sekali berpunca daripada enjin. Kalau berpunca daripada enjin disebabkan terdapat kebocoran minyak.

    “Pemilik kereta banyak mengubah suai daripada original, mereka tambah lagi (aksesori), contohnya sistem speaker dan radio yang memerlukan kuasa lebih tinggi. Kalau nak buat tuntutan daripada syarikat pengeluar sudah tentu tak dilayan kerana sudah membuat modifikasi,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri Jabatan Bomba dan Penyelamat JBPM Sarawak di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah malam kelmarin.

    Jamri mengingatkan pemilik kereta di Sarawak jangan melakukan pengubahsuaian sehingga mengakibatkan sistem pendawaian elektrik mengalami beban melampau yang akhirnya mengakibatkan kebakaran.

    “Adalah baik supaya mengekalkan seperti mana keadaan keluar daripada kilang demi keselamatan mereka,” tambahnya. – Bernama

    Pendawaian elektrik melampau jadi punca kereta terbakar. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda