Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 6 OGOS – Para pelajar dari sekolah-sekolah sekitar Daerah Belait telah berpeluang untuk mendapatkan pendedahan mendalam mengenai keselamatan siber menerusi satu ceramah yang berlangsung di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Kuala Belait, kelmarin.
Ceramah tersebut telah dianjurkan oleh pihak perpustakaan dan dikendalikan oleh wakil dari Cyber Security Brunei (CSB), yang menyampaikan beberapa topik berkaitan keselamatan siber, khususnya mengenai statistik mangsa jenayah siber seperti penipuan dan lain-lain.
Dengan peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) oleh penjenayah dan penipu, ceramah itu turut menekankan bagaimana teknologi tersebut boleh menjadikan orang awam lebih mudah terdedah kepada jenayah siber.
Kira-kira 50 orang pelajar dari Sekolah Menengah (SM) Chung Hua, Sekolah St John, SM Perdana Wazir dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC) telah hadir untuk mengikuti pendedahan awal terhadap tanda-tanda awal penipuan dalam talian serta kaedah bagi mengenal pasti dan cara untuk menghindarinya.
Para pelajar turut diperkenalkan kepada pelbagai usaha dan inisiatif yang dijalankan oleh agensi kerajaan seperti CSB dan anak syarikatnya seperti Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Brunei (BruCERT), Makmal Forensik Digital Kebangsaan (NDFL) dan Pusat Pemantauan Siber, yang bekerjasama dalam membanteras jenayah siber di negara ini.
Selain meningkatkan kesedaran, ceramah tersebut juga memberi inspirasi kepada para pelajar untuk lebih menghargai usaha di sebalik pencegahan jenayah siber dan membuka potensi kerjaya dalam bidang keselamatan siber di masa hadapan.
Acara berkenaan turut diserikan dengan sesi membaca selama 10 minit yang dianjurkan oleh perpustakaan sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk memupuk minat membaca dan meningkatkan celik huruf dalam kalangan para pelajar.




