JAKARTA, 21 JUN – Dunia perlu memikirkan semula pendekatannya untuk menyelesaikan krisis di Myanmar yang diperintah oleh junta kerana ia tidak berkesan, kata pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), hari ini.
Myanmar yang sedang bergolak sejak rampasan kuasa pada Februari 2021 yang menyingkirkan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi, dengan lebih 3,000 orang awam terbunuh dalam tindakan keras tentera terhadap pembantah, menurut kumpulan pemerhati.
Usaha yang dilakukan oleh 10 anggota ASEAN, yang termasuk Myanmar, untuk menghentikan krisis telah terputus-putus dan tiada perkembangan dibuat dalam pelan damai Lima Konsensus yang dipersetujui dua tahun lalu.
Tom Andrews, pelapor khas PBB mengenai situasi di Myanmar, menggesa tindakan dan kepimpinan baharu daripada rakan-rakan anggota ASEAN.
“Saya percaya bahawa krisis di Myanmar telah mencapai titik perubahan yang penting dan sudah tiba masanya masyarakat antarabangsa menilai semula pendekatan mereka terhadap krisis itu,” katanya semasa sidang media di Jakarta, Indonesia.

Beliau berkata tindakan yang dilakukan ketika ini oleh masyarakat antarabangsa dan blok serantau ASEAN ‘tidak berhasil’ untuk menamatkan krisis.
“Perubahan pendekatan adalah diperlukan,” katanya.
“Perubahan ini akan memerlukan visi dan kepimpinan dan saya percaya bahawa Indonesia berada di kedudukan untuk memberikan kepimpinan itu.”
ASEAN menjadi lebih berbalah mengenai isu Myanmar, dengan Thailand mempertahankan rundingan dengan junta selepas menjemput menteri luar Myanmar, Than Shwe ke perjumpaan tidak rasmi pada Isnin.
Indonesia dan Malaysia antara pengkritik keras junta di kalangan negara-negara blok menolak perjumpaan tersebut. – AFP

