Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendekatan Broadnet disokong kerajaan

    KOTA BELUD, 18 Feb – Usaha kerajaan mendorong lebih banyak pelaburan swasta dalam meletak atur fiber baru-baru ini adalah bagi mencapai matlamat negara untuk meningkatkan kelajuan jalur lebar dan menurunkan harga, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. “Usaha meningkatkan infrastruktur digital kita ini penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital dan pelaburan dalam meletak atur fiber oleh entiti swasta seperti Broadnet Network Sdn Bhd (Broadnet) menggunakan pembiayaan swasta sentiasa dialu-alukan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Karnival Jualan Sentuhan Rakyat, di sini hari ini.

    Salleh berkata kerajaan menyokong pendekatan yang diambil oleh Broadnet untuk memanfaatkan jaringan fiber sedia ada yang dimiliki pihak-pihak seperti Tenaga Nasional Berhad dan penggunaan jaringan fiber sebegini akan dilakukan secara komersial dan bukan eksklusif.

    “Broadnet merupakan inisiatif swasta. Syarikat ini memiliki lesen yang diperlukan menurut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta akan menggunakan dananya sendiri untuk meletak atur fiber secara komersial. “Kerajaan berharap ini dapat dilakukan secepat mungkin bagi mencapai sasaran jalur lebar negara menjelang 2020,” katanya. Mengenai karnival jualan itu, Salleh berkata program berkenaan memberi peluang kepada penduduk sekitar Kota Belud mendapatkan barang keperluan asas pada harga yang lebih murah.

    Program anjuran Barisan Nasional (BN) Kota Belud itu juga membuktikan keprihatinan parti tersebut dalam membantu mengurangkan kos sara hidup dan beban rakyat terutama dalam soal barang keperluan asas, katanya.

    “BN Kota Belud akan berusaha untuk mengadakan program ini sekerap yang mungkin bergantung kepada keadaan dan kita akan menentukan lokasi berbeza bagi memberi peluang kepada penduduk yang tinggal di pedalaman Kota Belud menikmati program ini,” katanya.

    Kira-kira 3,000 pengunjung menghadiri karnival itu yang bermula seawal 8 pagi hingga 2 petang ini dengan pelbagai barang keperluan asas termasuk beras dan minyak masak dijual pada harga murah. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda