Gambar oleh Infofoto
ROM, ITALI, 31 OKT – Pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar memerlukan bukan sahaja pendekatan seluruh negara, tetapi pendekatan seluruh dunia.
Sehubungan itu, ASEAN melahirkan komitmen dalam Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (COP26) untuk melaksanakan UNFCCC dan Perjanjian Paris, seterusnya menyeru negara-negara maju menyokong pengukuhan tindakan penyesuaian dan mitigasi oleh negara-negara membangun melalui kewangan, pembangunan dan pemindahan teknologi serta membina kapasiti.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN dan ‘Guest of Chair’ menekankan perkara itu ketika berkenan mengurniakan titah pada sesi kedua Sidang Kemuncak G20 yang berlangsung di Pusat Persidangan La Nuvola (The Cloud) hari ini.
Sesi kedua dan ketiga dimulakan dengan ucapan oleh Perdana Menteri Republik Itali selaku pengerusi Sidang Kemuncak G20 2021 yang menumpukan kepada perubahan iklim dan alam sekitar dan perkembangan mampan.
Baginda seterusnya memaklumkan bahawa ASEAN sedang beralih kepada ekonomi terangkum (circular economy) dan mengalu-alukan perkongsian amalan terbaik dalam G20, termasuk melalui Dialog Kecekapan Sumber G20.
Sehubungan itu, penglibatan belia dalam penggubalan dasar adalah penting sebagai pemimpin masa depan dan pewaris planet ini.
Pada sesi ketiga pula yang memberi tumpuan terhadap perkembangan mampan, Baginda bertitah bahawa kemajuan dalam merealisasikan Agenda 2030 secara sepenuhnya telah terjejas disebabkan pandemik COVID-19.
Oleh itu, wabak berkenaan perlu ditangani untuk memajukan usaha-usaha mengenai SDG.
Sifat cross-sectoral matlamat dan sasaran memerlukan sokongan nasional serta kerjasama serantau dan antarabangsa, tekan Baginda.
Baginda seterusnya mengongsikan bahawa ASEAN menubuhkan inisiatif SHIELD untuk meningkatkan kesiapsiagaan rantau ini terhadap krisis masa depan serta bagi membantu ASEAN memenuhi sasaran SDG.
Pada penghujung Sidang Kemuncak G20 ini, para pemimpin telah meluluskan Deklarasi Pemimpin G20 Rom.