LABUAN – Pulau bebas cukai Labuan telah mengambil pendekatan holistik dengan memasukkan kemudahan sukan dalam perancangan bersepadu bandar itu untuk membangunkannya sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
Penganjuran pelbagai acara membuktikan Labuan sudah membina reputasi sebagai tempat yang menarik dan sesuai untuk didiami, di samping sebuah pulau yang makmur dengan kedudukannya atau bagi menjalankan perniagaan.
Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata acara tahunan Cabaran Laut Antarabangsa Labuan (LISC) telah menarik ribuan pengunjung dari seluruh negara dan antarabangsa ke pulau berkenaan sebagai peserta dan penonton.
“Kami gembira untuk menyatakan ramai individu daripada sektor kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai bersama-sama membantu bagi memastikan kejayaan penganjuran acara ini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sejumlah 22 acara telah disenaraikan dalam LISC tahun ini, dengan ratusan peserta tempatan dan antarabangsa sudah mengesahkan penyertaan pada cabaran tersebut.


Acara pertama berlangsung pada 22 April dan berakhir pada 1 Mei lalu.
Lima acara utama yang dipertandingkan adalah ‘Water Taxi Tug Boat Race’, ‘Boat Tug of War’, Cabaran Kayak Mengelilingi Pulau Labuan, Pertandingan Memancing Pulau ke Pulau dan Cabaran Berenang Merentas Selat.
Rozman berkata pulau bebas cukai itu telah memperkenalkan produk pelancongan baharu dengan menggunakan bot kayu rekaan terkini dikenali sebagai ‘Parahu Larai’.
“Kita akan promosikan Parahu Larai ini kepada pelancong sebagai sebahagian daripada tarikan pelancongan terbaharu di pulau ini,” katanya. – Bernama