Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendekatan, kaedah berbeza perlu diguna pakai realisasi jambatan Labuan

    LABUAN, 21 JAN – Pendekatan dan kaedah berbeza perlu diguna pakai dalam merealisasikan cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah yang dinanti-nantikan sekian lama, kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof.

    Beliau berkata terdapat keperluan untuk kajian menyeluruh bagi menilai daya maju jambatan berkenaan dan potensi kesannya terhadap ekonomi Labuan.

    “Saya telah mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman dan kita komited untuk meneroka kaedah alternatif bagi memastikan jambatan ini direalisasikan,” katanya pada sesi bertemu rakyat, hari ini.

    Fadillah berkata pembangunan di seluruh pulau juga penting dan mencadangkan supaya sebuah bandar baharu dibuka di Labuan bertujuan bukan sahaja meningkatkan populasi, tetapi juga merangsang aktiviti ekonomi dan menarik pelaburan.

    “Dengan pertambahan penduduk dan aktiviti ekonomi, kita menjangkakan minat yang tinggi daripada pelabur yang ingin menyumbang kepada pembinaan jambatan itu,” katanya.

    Fadillah berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa turut mengadakan perbincangan dengan beliau berhubung aspirasi penduduk Labuan yang mahukan cadangan jambatan itu menjadi kenyataan.

    “Semasa perbincangan kami, saya sampaikan kepadanya perkara ini yang telah dibincangkan dalam Kabinet dan saya sedar bahawa Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan mengenai cadangan jambatan ini,” katanya.

    Fadillah berkata usaha sebelum ini termasuk pengeluaran Permintaan untuk Cadangan (RFP), tiada satu pun yang mematuhi sepenuhnya keperluan kementerian berkaitan menyebabkan perkara itu tidak diluluskan Kabinet. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda