KUALA LUMPUR, 30 JULAI – Sesetengah pihak mungkin meragui kehebatan Datuk Misbun Sidek dalam melatih pemain tetapi tidak buat pemain badminton Malaysia Justin Hoh yang memandang tinggi kepada beliau.
Pemain perseorangan lelaki berusia 19 tahun itu yang berlatih di bawah Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) selama tiga tahun, merasakan Misbun adalah jurulatih terbaik baginya.
“Saya tahu ramai di luar sana meragui awda dan memikirkan kaedah kejurulatihan awda sudah lapuk, tetapi saya mahu katakan di sini anda adalah jurulatih terbaik di mata saya. Terima kasih kerana mendidik saya bagaimana menjadi seorang atlet yang berdisiplin.
Tanpa awda, saya tidak akan berada di tempat ini hari ini. Bukan hanya sebagai seorang guru, tetapi sebagai seorang bapa selamanya. Terima kasih. ‘Coach’ Misbun,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Jumaat lalu, Misbun dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersetuju secara bersama untuk berpisah susulan prestasi hambar skuad badminton remaja di Kejohanan Remaja Asia yang berlangsung di Jogjakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Misbun sebelum ini telah memainkan peranan penting dalam mengasah bakat Datuk Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia. – Bernama