Oleh Nurdiyanah R. –
Seiring dengan matlamat memperkasakan pembangunan golongan pelajar dengan persekitaran pembelajaran yang berkesan, pihak Sekolah Menengah Masin telah mengungkayahkan sebuah program Student Learning Showcase bagi pelajar-pelajar Tahun 10 pada penghujung Julai lalu di dewan serba guna sekolah tersebut.
Sehubungan itu, sebanyak lapan buah kelas Tahun 10 telah mempamerkan projek-projek mereka secara berkumpulan dengan pelbagai idea kreatif berasaskan hasil pembelajaran dalam kelas masing-masing.
Projek-projek yang dipamerkan merangkumi Projek Sastera dan Tarian di bawah subjek Bahasa Melayu; Projek Common Public Transportation in Tourism dalam subjek Travel and Tourism; Projek Active Reading dalam subjek English Language; Food and Nutrition; Combined Science; Pertanian; Melayu Islam Beraja (MIB) berkaitan Makanan Tradisi Brunei; Projek Praktikal Lambaian Kaabah di bawah subjek Pengetahuan Ugama Islam; dan Projek Khidmat Cuci Kereta bagi subjek Life Skill.
Kenali pengangkutan awam sektor pelancongan
Berkesempatan ditemui penulis, menerusi projek berjudul Common Public Transportation in Tourism yang diketengahkan oleh 20 orang pelajar dari Tahun 10 Neon, salah seorang guru subjek Travel and Tourism, Dayang Zuliza binti Haji Rosle yang juga selaku pembimbing petak pameran tersebut menjelaskan bahawa dalam pelaksanaan projek tersebut, para pelajar telah diarahkan untuk menumpukan kepada empat jenis pengangkutan awam yang terdapat di empat buah negara termasuk Negara Brunei Darussalam yang berkaitan dengan kepentingan asas dalam sistem pelancongan.
Justeru itu, empat jenis pengangkutan yang diketengahkan antara lain adalah sebagai bentuk perhubungan orang awam dalam merentasi Kampong Ayer menggunakan pengangkutan perahu atau bot tambang; penggunaan bas Double Decker di London, United Kingdom; pengangkutan LRT di Malaysia; dan penggunaan keretapi mewah di Jepun.
Di samping itu, menerusi projek tersebut, para pelajar turut mengetengahkan tempat-tempat menarik dan keunikan yang terdapat dalam setiap negara yang sememangnya sebagai salah satu faktor tarikan pelancong.
“Tajuk pameran yang dipilih ini banyak membantu para pelajar dalam mengembangkan lagi pemahaman mereka mengenai topik pembelajaran yang mereka telah pelajari dalam subjek Travel and Tourism sebelumnya.
Di samping Itu, penghasilan projek tersebut juga dilihat mampu meningkatkan semangat kerjasama para pelajar yang bukan hanya dalam kalangan mereka yang mengambil subjek berkenaan bahkan beberapa pelajar lain di luar bidang subjek dapat secara langsung menambah pengetahuan mereka,” ujarnya.
Memartabat kuih-muih tradisional Brunei
Sementara itu, seramai 17 orang pelajar Tahun 10 Silver turut tidak ketinggalan memartabatkan beberapa jenis kuih-muih tradisional Brunei di bawah subjek MIB semasa berlangsungnya program tersebut.
Salah seorang pelajar yang terlibat mengongsikan antara jenis-jenis kuih tradisi yang diketengahkan termasuklah kuih sapit, ardam, bahulu, dan sebagainya.
Menurutnya, jika tiada yang lama, tiada yang baharu, itulah yang menjadi lambang keunikan kulinari tradisi Melayu kita yang setentunya memiliki kepelbagaiannya yang tersendiri sebagai warisan budaya yang perlu dipertahankan dan dikembangmajukan serta diperjuangkan oleh masyarakat di negara ini.
Tambahnya, mempertahankannya adalah menjadi tanggungjawab bersama, di mana ungkapan sedemikian kedengaran cukup mudah. Namun untuk mengekalkan dan mempertahankan sesuatu warisan itu agar tidak terhakis dan hanyut ditelan arus kemodenan adalah cabaran yang seharusnya dihadapi bersama oleh segenap lapisan masyarakat di bumi watan ini.
Integrasi kemahiran 5C
Mengimbas kembali ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengetua Sekolah Menengah Masin, Hajah Norwen binti Haji Brahim antaranya berkata, sepanjang program itu dijalankan pihak sekolah dapat melihat bagaimana pelajar-pelajar dapat mengintegrasikan kemahiran-kemahiran asas abad ke-21 iaitu 5C.
Kemahiran 5C adalah Communication, Creative Thinking, Critical Thinking, Curiosity, dan Collaboration. Ia menunjukkan para pelajar mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa bak kata pepatah Melayu ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.’
Tuntasnya, beliau turut menaruh harapan tulus agar program berkenaan dapat memberi impak positif atau manfaat sebaik-baiknya kepada semua pihak yang terlibat mahu pun mereka yang menyaksikannya.