Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Bagi memantapkan lagi hubungan masyarakat awam bersama Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) dalam kerjasama membendung dan mencegah sebarang kegiatan jenayah, Balai Polis Berakas, Daerah Polis Brunei dan Muara telah menjalankan pemantauan dan pendekatan ke rumah-rumah ketua kampung semasa pengagihan wang pencen tua dan kebajikan bagi penduduk-penduduk kampung.
Antara rumah-rumah kediaman yang dikunjungi ialah Ketua Kampung Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lambak Kanan Kawasan 4, Haji Jumat bin Haji Nasir dan Ketua Kampung Lambak ‘A’, Haji Bujang bin Ahim.
Program tersebut dijalankan oleh anggota Balai Polis Berakas yang diketuai oleh ahli Focal Point Pengawasan Kejiranan (PK), Sarjan 3094 Awang Azlan dan Koperal 3854 Haji Tajuddin.
Tujuan pendekatan ini diadakan adalah bagi menambah kepercayaan para ketua kampung terhadap keselamatan semasa pengagihan dijalankan di samping mengeratkan lagi silaturahim di kalangan penduduk setempat serta berkongsi maklumat mengenai permasalahan dan keadaan kejiranan kampung yang sedia ada. Ia juga diharapkan dapat mewujudkan lagi kefahaman sepenuhnya mengenai matlamat PK dalam sama-sama mencegah jenayah dan menjadikan negara ini bebas daripada sebarang gejala-gejala yang mencemarkan keamanan dan kesejahteraan sejagat.
