Penderaan lisan terhadap kanak-kanak boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mental mereka pada usia dewasa sama seperti penderaan fizikal, menurut penyelidik di Britain.
Satu kajian melibatkan lebih 20,000 orang dewasa di England dan Wales mendapati mereka yang terdedah kepada penderaan lisan semasa kecil berkemungkinan besar berasa terasing, pesimis dan tidak sihat secara emosi pada kemudian hari.
Orang dewasa yang pernah didera secara fizikal ketika kecil mempunyai 52 peratus risiko lebih tinggi untuk mengalami kesejahteraan mental yang rendah, manakala angka ini mencecah sekitar 64 peratus bagi mereka yang hanya menjadi mangsa penderaan lisan.
Walaupun kajian ini menunjukkan penderaan lisan memberi kesan sedikit lebih tinggi, para penyelidik menegaskan perbezaannya tidak signifikan secara statistik dan memerlukan kajian lanjutan dengan sampel lebih besar bagi mengesahkan ketepatan dapatan tersebut.
Kajian yang diketuai oleh Liverpool John Moores University itu turut mendapati pendedahan kepada kedua-dua bentuk penderaan meningkatkan lagi risiko sehingga 115 peratus.

Pengarang utama, Profesor Mark Bellis yang juga pengarah penyelidikan dan inovasi di universiti berkenaan berkata, “Kajian kami menunjukkan bahawa penderaan lisan pada zaman kanak-kanak boleh meninggalkan parut kesihatan mental yang sama dalam dan berpanjangan seperti penderaan fizikal. Kemajuan penting telah dicapai dalam mengurangkan penderaan fizikal, tetapi penderaan lisan sering diabaikan.”
Kajian yang diterbitkan dalam BMJ Open itu juga mencadangkan bahawa prevalens penderaan lisan semakin meningkat dalam beberapa dekad kebelakangan ini, sekali gus “menghakis manfaat jangka panjang terhadap kesihatan mental yang sepatutnya wujud hasil pengurangan penderaan fizikal.”
DARIPADA FIZIKAL KEPADA LISAN
Para penyelidik bekerjasama dengan Bangor University dan Public Health Wales dengan mengumpulkan data daripada tujuh kajian berkaitan, melibatkan 20,687 orang dewasa dari England dan Wales serta meneliti kohort kelahiran sejak tahun 1950an.
Mereka mendapati prevalens penderaan fizikal kanak-kanak menurun separuh, daripada sekitar 20 peratus bagi mereka yang lahir antara 1950 hingga 1979 kepada 10 peratus bagi mereka yang lahir pada tahun 2000 atau selepasnya.
Namun, bagi penderaan lisan, prevalens meningkat daripada 12 peratus bagi mereka yang lahir sebelum 1950 kepada sekitar 20 peratus bagi mereka yang lahir pada tahun 2000 atau selepasnya.
Para penyelidik berkata, dianggarkan satu daripada enam kanak-kanak mengalami penderaan fizikal – kebanyakannya daripada ahli keluarga dan penjaga – tetapi satu daripada tiga kanak-kanak menjadi mangsa penderaan lisan.
Jessica Bondy, pengasas organisasi Words Matter yang menumpukan usaha menamatkan penderaan lisan kanak-kanak oleh orang dewasa berkata, “Kajian ini mengesahkan apa yang telah lama diketahui oleh mangsa dan golongan profesional: kata-kata boleh melukakan dengan mendalam dan memberi kesan berpanjangan kepada kesihatan mental serta perkembangan kanak-kanak.
“Kita semua kadangkala berasa terbeban, tetapi terlalu ramai orang dewasa menggunakan kata-kata kasar tanpa menyedari kerosakan berpanjangan yang ditimbulkan terhadap kanak-kanak.
“Segala kemajuan dalam mengurangkan penderaan fizikal berisiko terbatal akibat peningkatan kadar penderaan lisan. Kita mesti bertindak sekarang untuk menentang kerosakan berpanjangan yang berpunca daripada bahasa yang kejam, kritikal atau mengawal.
“Kita perlu membina keyakinan kanak-kanak – bukan meruntuhkannya. Kesihatan mental generasi akan datang dan masa depan bersama kita bergantung padanya.” – ANN/The Star

