Penderma darah diperlukan segera

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Orang ramai terutama penderma darah yang aktif diseru untuk tampil menderma darah bagi membantu meningkatkan stok bekalan darah di negara ini.

Kementerian Kesihatan melalui Pusat Pendermaan Darah dalam kenyataan yang dikeluarkan, menyatakan bahawa orang ramai boleh menderma darah di Pusat Promosi Kesihatan pada 3, 4 dan 6 November ini bermula pukul 8 pagi hingga 11 pagi dan 12:30 tengah hari hingga 1:30 petang.

Dalam usaha menyokong dan membantu menambah bekalan darah di negara ini, Jabatan Perkhidmatan Pos, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi juga akan mengadakan kempen derma darah sempena Hari Pos Sedunia 2021.

Orang ramai yang berhasrat untuk menjayakan kempen berkenaan, bolehlah datang pada 4 dan 6 November depan dari pukul 8 pagi hingga 1:30 petang di Pusat Promosi
Kesihatan.

Slot-slot pendermaan darah bolehlah ditempah melalui aplikasi BloodKad atau datang terus.

Selain itu, penderma darah juga mengunjungi Tabung Darah Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Belait dan Tabung Darah Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam (PIHM), Temburong untuk menderma darah pada waktu-waktu yang ditetapkan.

Untuk pendermaan darah di Tabung Darah Hospital SSB, waktu beroperasi adalah pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula pukul 8 pagi hingga 3:30 petang.

Manakala itu, pendermaan darah di Tabung Darah Hospital PIHM ber-operasi pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 9 pagi hingga 11:30 pagi sementara pada sebelah petang bermula pukul 1:30 petang hingga 3:30 petang.

Untuk maklumat lanjut atau membuat tempahan menderma darah dan bagi mengadakan kempen derma darah di Pusat Promosi Kesihatan atau di Pusat Pendermaan Darah,
hubungi Pusat Pendermaan Darah di talian atau WhatsApp 7375745 atau e-mel kepada bloodbank@moh.gov.bn dan ikuti Pusat Pendermaan Darah di Instagram dan Facebook (@bloodbank.ripas).