Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Bekalan darah di Pusat Pendermaan Darah dan Tabung-tabung Darah di seluruh negara berada di tahap yang rendah.
Penderma darah kumpulan A,B dan O diperlukan dengan segera bagi menampung keperluan pemindahan darah di kesemua hospital di negara ini semasa bulan Ramadan ini.
Kementerian Kesihatan menyeru orang ramai agar tampil ke hadapan bagi sama-sama membantu meningkatkan bekalan darah di Negara Brunei Darussalam dengan menderma darah.
Dalam hubungan itu, Pusat Pendermaan Darah di Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan akan melanjutkan waktu operasi dan seterusnya mengadakan kempen derma darah bagi persediaan menjelang cuti awam sempena Hari Raya Aidilfitri.
Pusat berkenaan akan mengadakan kempen derma darah pada 7 April di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bermula pukul 8 malam hingga pukul 9:30 malam.
Orang ramai dialu-alukan untuk tampil ke hadapan bagi menjayakan serta menderma darah untuk sama-sama membantu mengekalkan bekalan stok darah di Negara Brunei Darussalam.
Para penderma darah yang berminat adalah digalakkan untuk membuat tempahan slot derma darah melalui aplikasi BloodKad bagi kempen derma darah berkenaan.

