Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penderma organ akibat mati otak catat rekod tertinggi

    TOKYO, 5 JUN – Bilangan pesakit yang disahkan meninggal dunia akibat mati otak dan menderma sekurang-kurangnya satu organ meningkat menjadi rekod tertinggi iaitu seramai 139 orang dalam tahun fiskal 2024.

    Menurut Menteri Kesihatan, Buruh dan Kebajikan, Takamaro Fukuoka, dalam Jawatankuasa Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Dewan Kaunselor pada Selasa, bilangan itu telah meningkat seramai 23 orang berbanding tahun sebelumnya.

    Tambahnya, peningkatan itu merupakan sebahagian daripada hasil inisiatif yang menyokong institusi perubatan yang kurang pengalaman dalam pendermaan organ.

    Rekod tertinggi itu telah dicatat selama tiga tahun berturut-turut.

    Seorang penderma yang disahkan meninggal dunia akibat mati otak berpotensi menyumbangkan sehingga tujuh organ untuk pemindahan.

    Daripada 139 pesakit itu, terdapat 119 pendermaan hati, 116 jantung, 115 buah pinggang, 106 paru-paru, 55 kornea, 46 pankreas dan dua pendermaan usus kecil.

    Sehingga akhir tahun fiskal 2024, jumlah keseluruhan penderma sebegitu adalah seramai 1,181 orang, iaitu sejak Akta Pemindahan Organ dikuatkuasakan pada 1997.

    Sementara itu, bilangan pesakit yang menderma organ selepas kematian peredaran darah dalam tahun fiskal 2024 adalah seramai sembilan orang, menurun enam orang berbanding tahun sebelumnya.

    Daripada kira-kira 900 institusi perubatan di seluruh Jepun yang berkeupayaan melakukan pendermaan organ, hanya sekitar satu pertiga yang mempunyai pengalaman sebenar.

    Kini, terdapat program anjuran kementerian yang melibatkan 31 institusi perubatan berpengalaman dalam pendermaan organ yang memberi bimbingan kepada institusi berdekatan yang tidak berpengalaman.

    “Melalui tunjuk ajar itu, institusi perubatan yang kurang yakin secara beransur-ansur mula melibatkan diri dalam usaha pendermaan organ,” kata seorang pegawai kementerian. – ANN/The Japan News

    : Takamaro Fukuoka bercakap semasa di Dewan Kaunselor Jepun, pada 3 Jun. – ANN/The Japan News
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda