KOTA KINABALU, 30 JUN – Taman-Taman Sabah (TTS) mengambil inisiatif menganjurkan Program Pendidikan Alam Sekitar Secara Talian (PPASST) sepanjang Jun tahun ini bagi memberi pendedahan serta kesedaran terhadap kepentingan mencintai alam sekitar dalam kalangan pelajar sekolah.
Timbalan Pengarah TTS, Rimi Repin berkata program secara dalam talian itu turut menyediakan platform capaian mesej pemuliharaan alam sekitar kepada pelajar sekolah supaya lebih celik berkaitan isu berkenaan.
Katanya, program yang bermula 1 hingga 25 Jun itu, yang dinamakan ‘Junior Nature Environmentalist’ menyasarkan pelajar Tingkatan Satu dan Dua di seluruh negara.
“Program ini merupakan satu daripada strategi bahagian Penyelidikan dan Pendidikan TTS dalam memperkasa sekali gus memantapkan lagi program pendidikan alam sekitar untuk pelajar sekolah,” katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini.
TTS adalah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang berperanan mengurus serta melindungi enam taman marin dan tiga taman daratan di negeri itu.
PPASST mengandungi tujuh modul pendidikan alam sekitar berasaskan tujuh program di bawah jenama ‘Junior Nature Environmentalist’, iaitu Junior Marine Biologist, Junior Zoologist, Junior Entomologist, Junior Botanist, Junior Ecologist (daratan dan lautan) dan Junior Goologist.
Rimi berkata setiap sesi kelas secara dalam talian itu mengambil masa kira-kira 25 minit dikendalikan oleh fasilitator dalam kalangan pegawai TTS yang memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang masing-masing.
Tambahnya, seramai 20 hingga 30 pelajar pada setiap sesi, dan disiarkan menerusi laman sosial Facebook rasmi TTS bagi membolehkan ‘rakan-rakan’ TTS lain mengikuti kelas itu pada tarikh dan waktu ditetapkan. – Bernama