WILLIAMSVILLE – Para guru sekolah rendah hingga kolej cuba untuk mengajar pelajar cara untuk membezakan berita benar dan berita palsu serta mendidik mereka mengenai kepentingannya.
Laman sesawang Facebook telah bekerjasama dengan The Associated Press, FactCheck.org dan organisasi lain untuk membendung penyebaran berita palsu dan mengelirukan dalam rangkaian berpengaruh. Guru-guru berpendapat bahawa pembelajaran di dalam kelas boleh memainkan peranan dalam membantu mengawal isu ini. Satu contoh adalah apabila tajuk utama yang berbunyi ‘Pope menyokong Trump’ telah mengelirukan penduduk dan pengundi semasa kempen presiden tahun lepas.
“Saya rasa hanya pendidikan dapat menyelesaikan masalah ini,” kata Pat Winters Lauro, profesor di Kean University New Jersey yang mula mengajar kursus mengenai literasi berita baru-baru ini.
Seperti juga guru lain, Lauro telah menjumpai satu perbincangan yang melibatkan berita palsu yang telah menjurus kepada topik politik yang sensitif. Sebahagian pengkritik percaya bahawa berita-berita palsu telah digunakan untuk menentang calon presiden demokratik, Hillary Clinton dan pada masa yang sama telah menolong Donald Trump untuk mengatasi isu kekurangan sokongan. Walhal, Presiden Trump sendiri telah memberikan ‘label’ tersebut kepada dirinya pada minggu-minggu awalnya sebagai presiden.
“Perkara ini bukanlah topik yang susah untuk diajar kerana terdapat banyak material yang boleh digunakan di luar sana,” kata Lauro, “namun, ia susah dari segi politik kerana kita tinggal dalam negara yang terbahagi, pelajar-pelajar juga terbahagi dari segi pemikiran mereka. Kadang kala saya risau jika mereka fikir saya membincangkan mengenai hal politik. Tapi sebenarnya saya hanya mengajar mengenai standard kewartawanan dalam memastikan kebenaran sesuatu fakta. Saya risau jika mereka menyangka saya anti pihak tertentu.”
Mengenalpasti berita yang benar dan palsu lebih senang apabila berita itu diambil dari sumber yang dipercayai contohnya majalah, akhbar dan lain-lain, kata pelajar senior dari Kean, Mike Roche yang sedang mengikuti kursus Lauro. Tapi sekarang, “ia tersebar melalui medium yang sama dari telefon bimbit atau komputer, jadi berita benar dan palsu susah untuk dibezakan,” katanya.
Ahli parlimen California baru-baru ini memperkenalkan undang-undang baru yang mengarahkan agar negeri tersebut menambah satu pelajaran yang mengajar cara untuk membezakan antara berita benar dan berita palsu dalam kurikulum gred tujuh hingga gred 12.
Guru sekolah menengah yang mengajar pelajaran kerajaan dan politik, Lesley Battaglia menggunakan berita palsu dalam pelajaran perdebatan presiden semasa kempen perlantikan presiden. Mereka juga membincangkan mengenai laman-laman sesawang dan sumber yang boleh dipercayai dan memeriksa berita-berita melalui laman pemeriksa fakta seperti Snopes. Dia juga memberikan pelajaran mengenai sumber yang tidak dikenali dan laman sesawang satira. (Mereka mengenal pasti berita palsu yang melibatkan penyebaran berita satira China pada tahun 2012 dalam laman sesawang The Onion yang menamakan Kim Jong Un sebagai lelaki terseksi).
“Saya memberikan kamu kerja yang tidak dibuat oleh semua orang. Tidak seperti orang lain – jika mereka nampak sesuatu berita dalam laman Twitter, mereka akan terus mempercayainya,” kata Battaglia kepada pelajarnya di Sekolah Tinggi Williamsville South di pinggir bandar Buffalo.
“Ia agak gila,” kata Hannah Mercer, pelajar berumur 17 tahun, “memikirkan bagaimana ia memberi kesan kepada orang ramai dan bagaimana ia mempengaruhi pendapat mereka.”
Pusat Literasi Berita di Stony Brook University, 10 tahun lalu telah mempelopori idea untuk memberikan pendidikan kepada pengguna berita yang bukan saja terdiri daripada wartawan dengan kebangkitan berita atas talian. Menurut laporan Pew Research Centre tahun lepas, lebih kurang empat dari 10 warga Amerika mendapat berita dari atas talian. Stony Brook baru-baru ini bekerjasama dengan University of Hong Kong untuk mengeluarkan kursus atas talian percuma.
“Bagi saya, ia merupakan kursus sivik baru,” kata Tom Boll selepas menyiapkan kursusnya berkenaan berita benar dan palsu di Newhouse School di Syracuse University. Sekarang, semua orang dapat mempost dan berkongsi apa saja. Rangkaian berita dan penyunting akhbar tidak lagi berperanan sebagai pengawal berita dan informasi, tambah Boll.
“’Pagar berita’ sekarang terbuka luas,” katanya, “ia terpulang kepada kita untuk memilih berita yang patut kita percayai.”
Ia bukannya mudah, kata Bill Ferriter, guru di Raleigh di Carolina Utara yang menggalakkan pelajarnya untuk mempertikaikan sesuatu berita itu untuk memastikan sama ada ia benar atau palsu. Dia juga menggalakkan mereka untuk melihat alamat laman sesawang itu dan penulisnya serta sentiasa bersikap skeptikal ketika membaca rencana yang meragukan yang cuba untuk membangkitan kemarahan.
Dia memberikan contoh satu laman sesawang yang kelihatan sahih yang melaporkan mengenai berita Presiden Barack Obama menandatangani satu arahan pada bulan Disember yang mengharamkan ikrar janji setia di sekolah-sekolah. Perkataan ‘co.’ di belakang alamat laman sesawang berita palsu itu merupakan satu daripada tandanya, katanya.
“Cabaran utama saya dalam mengajar pelajar mengenai kandungan yang meragukan dalam laman sesawang adalah untuk meyakinkan mereka bahawa perkara sedemikian memang wujud.” Kata Ferriter yang mengajar pelajar gred enam.
Sebahagian pelajar Battaglia risau jika berita palsu merosakkan reputasi sumber berita yang boleh dipercayai dan mungkin akan memberi lesen kepada orang-orang terkenal untuk menafikan berita-berita tertentu. Ini boleh menyebabkan mereka menolak berita-berita yang tidak mereka sukai sesuka hati.
“Apabila orang ramai mula tidak mempercayai semua sumber berita, orang-orang berkedudukan tinggi akan dapat membuat apa saja yang mereka suka, kata Katie Peter, “itu sangat merisaukan.” – AP