Oleh Rabi’atul Nazurah Hidup
“ORANG berilmu ialah orang yang tidak habis-habis menuntut, mendengar, melihat dan membaca, bagi memperolehi ilmu. Orang seperti ini disebut oleh Al-Qur’an sebagai orang yang diangkat darjatnya di sisi Allah dan manusia.”
Berikut adalah titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan berangkat merasmikan Majlis Ilmu Sempena Hari Keputeraan Baginda Yang ke-65 tahun pada 26 Julai 2011 yang menekankan betapa pentingnya ilmu itu. Ilmu daripada pendidikan yang berkualiti bukan sahaja sesuatu signifikan kepada masyarakat malahan dituntut oleh agama. Pendidikan yang berkat menjanjikan kejayaan dunia dan akhirat yang merupakan kunci bagi membuka pintu-pintu peluang yang bakal membantu individu mahupun negara dalam mengorak langkah kemajuan. Oleh yang demikian, pendidikan merupakan faktor utama dalam merealisasikan Wawasan 2035 dan kerajaan telah merangka strategi-strategi tertentu dalam pendidikan untuk melahirkan rakyat Brunei yang berpendidikan, berkebolehan tinggi dan berjaya.
Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).
Satu daripada strategi pendidikan RKN10 ialah memberikan pendidikan yang terbaik kepada rakyat dengan menyediakan institusi-institusi pendidikan yang berkualiti tinggi dari sekolah rendah hinggalah pengajian tinggi. Strategi ini telah pun diterapkan ke dalam sistem pendidikan negara, contohnya penamaan semula pusat-pusat di bawah pentadbiran Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE). Penamaan semula ini bertujuan untuk menaiktaraf imej institusi-institusi terlibat yang sebelum ini dikenali sebagai sekolah vokasional.
Ia juga bertujuan untuk menjadikan institusi ini sebagai aliran pendidikan yang dipandang tinggi, selain menjadi alternatif utama dalam menerajui bidang-bidang teknikal dan vokasional.


Antara lain matlamat IBTE adalah untuk melahirkan pelajar yang berkemahiran tinggi dan menjadi calon yang menonjol kepada sektor kerajaan mahupun swasta dengan strategi pendidikannya yang merangkumi pembelajaran secara menyeluruh. Dalam pada itu, usaha-usaha IBTE ini akan dapat mencapai sasaran Kementerian Pendidikan untuk mengurangkan kadar pengangguran sebanyak 80 peratus, menjadi negara 50 teratas dalam ujian antarabangsa TIMSS (The Trends in International Mathematics and Science Study) dan PISA (Program for International Student Assessment), meningkatkan kedudukan negara dalam Indeks Kompetitif Global dan memastikan majikan-majikan berpuas hati dengan kualiti kerja lepasan IBTE.
Guru berkualiti.
Usaha yang dilaksanakan tidak akan berjaya sekiranya negara tidak diwakili oleh barisan guru yang berkemahiran dan berprestij kerana guru merupakan medium yang menyalurkan ilmu secara langsung kepada pelajar seterusnya membentuk intelek, moral, sikap dan juga akidah mereka. Oleh yang demikian, peningkatan kemahiran guru juga perlu dititikberatkan dalam memastikan guru dapat berinteraksi dengan pelajar sepanjang pembelajaran dan menyempurnakan tugas mereka dengan berkesan. Justeru itu, kerajaan sedang giat memberikan kursus dan bengkel untuk membimbing guru dalam meningkatkan dan memperbaiki lagi inovasi dan kaedah pengajaran bagi memastikan isi pengajaran dapat diterima oleh pelajar dengan mudah dan berkesan.
Guru haruslah menjadi contoh terbaik kerana mereka merupakan insan yang disanjung serta dipandang tinggi terutamanya oleh pelajar. Guru yang berjaya menunjukkan contoh yang terbaik dalam melahirkan pelajar yang cemerlang, bukan sahaja berjaya dari segi akademik, malah mempunyai adab dan kesantunan yang telah menjadi identiti negara yang berfalsafah Melayu Islam Beraja (MIB).
Di samping menyampaikan pelajaran yang termasuk dalam sukatan pelajaran, guru-guru juga bertanggungjawab untuk menjadi duta falsafah MIB, dalam erti kata lain menjadi rol model yang dapat menunjukkan dan menerapkan nilai-nilai murni. Guru yang berjaya meningkatkan lagi kualiti pengajaran mereka, dalam masa yang sama memainkan peranan sebagai penyampai falsafah MIB, akan menjadi aset penting kepada negara terutamanya dalam melahirkan individu-individu yang bakal menjadi pemimpin, seterusnya memberikan perubahan yang positif kepada negara.
Pusat Pendidikan Sepanjang Hayat (C3L).
Usaha-usaha yang giat dilaksanakan tidak akan membuahkan hasil jika satu pihak sahaja yang bekerja keras. Oleh yang demikian, rakyat haruslah turut memainkan peranan dalam meningkatkan lagi prestasi pelajaran dan kemahiran diri mereka dengan memupuk sikap proaktif dengan tidak hanya menunggu perubahan yang dibuat oleh kerajaan.
Kerajaan dan rakyat harus berganding bahu untuk memastikan matlamat yang disasarkan berjaya dicapai, manakala rakyat haruslah mempunyai kemahuan dan semangat untuk terus meningkatkan pendidikan dan meluaskan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Justeru itu, Pusat Pendidikan Sepanjang Hayat (C3L) di Universiti Brunei Darussalam (UBD) sedang mengungkayahkan program-program pendidikan yang fleksibel dan menarik sebagai satu lagi usaha signifikan kerajaan dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.


C3L merupakan program yang menggalakkan rakyat untuk melanjutkan pelajaran dan memajukan diri di samping menggunakan sistem pendidikan blended, iaitu sistem pendidikan yang menggabungkan pembelajaran secara bersemuka dan pembelajaran secara atas talian. Gabungan ini akan memberi kemudahan kepada pelajar dan tenaga pengajar serta menyediakan pendidikan yang dapat disusun sendiri oleh pelajar. C3L juga menyediakan program-program untuk melayakkan pelajar meneruskan pengajian ke UBD. C3L ini antara lain membuka peluang luas kepada individu-individu yang berkeinginan untuk menimba ilmu dan mempelbagaikan bidang kelulusan.
Penerapan teknologi
Dalam memastikan pelajar dapat menerima pembelajaran yang disampaikan, guru haruslah proaktif dan inovatif dalam menerokai cara pengajaran baru dan berkesan. Meskipun kaedah pengajaran tradisional mungkin telah terbukti keberkesanannya, guru haruslah sentiasa bersedia untuk mencuba kaedah baru kerana persekitaran sentiasa berubah.
Oleh yang demikian, guru haruslah peka dengan keadaan sekeliling dan menerapkan kaedah pembelajaran seiring dengan peredaran zaman. Antaranya adalah dengan penggunaan teknologi dalam pengajaran.
Teknologi memungkinkan kerja dibuat dan dihantar secara atas talian contohnya penilaian, laporan dan lain-lain. Perbincangan juga boleh dibuat tanpa perlu bersemuka yang akan memudahkan guru dan pelajar. Ia juga merangsang pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar dengan perisian-perisian pendidikan yang dapat diakses dan maklumat-maklumat yang tersedia dari seluruh dunia.
Dalam pada itu, pelajar juga akan dapat belajar mengenai budaya negara lain yang dapat memberi kefahaman mengenai dunia luar selain daripada menjalin hubungan baik dengan masyarakat lain. Penggunaan teknologi dalam pembelajaran akan mempersiapkan pelajar menghadapi dunia nyata yang penuh dengan kemajuan dan kemodenan. Oleh yang demikian, kerajaan menggalakkan penerapan teknologi dalam pembelajaran dan menasihatkan guru dan pelajar agar memanfaatkan teknologi yang ada dalam pembelajaran mereka.
Ringkasnya, pendidikan yang berkualiti merupakan faktor utama yang dapat membawa negara ke arah kemajuan ekonomi. Usaha yang dilakukan dan diterapkan oleh kerajaan hanyalah merupakan titik mula. Guru seterusnya berperanan sebagai pemangkin yang mempercepatkan usaha itu dengan mendidik dan mengasah intelek pelajar yang kemudiannya merupakan penentu kejayaan usaha itu.
Oleh yang demikian, ketiga-tiga elemen ini berserta elemen pembantu iaitu sokongan masyarakat haruslah bekerjasama dalam memastikan pendidikan di Negara Brunei Darussalam berkualiti tinggi dan yang paling utama dapat melahirkan individu-individu yang berjaya dan gemilang serta membawa kepentingan kepada negara pada masa akan datang.