Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendidikan berkualiti pacu kemajuan Wawasan Negara 2035

    Oleh Sim Y. H.

     

    TANGGAL 23 Februari 2018 merupakan hari yang penuh bermakna bagi segenap lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam kerana pada hari itu, Brunei sudah mencapai usia kemerdekaan selama 34 tahun dan dalam tempoh lebih tiga dekad itu, Brunei bukan sahaja berkembang maju di dalam persada politik dan ekonomi serantau malahan turut menjadi sebuah negara yang terus membangun di pentas global.

    Perkara yang harus menjadi ristaan bagi setiap rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam ialah perubahan dari 1984 apabila negara mencapai kemerdekaan sehingga 34 tahun kemudian di mana landskap infrastruktur negara berubah mengikut peredaran masa dan juga mencapai pembangunan fizikal, ekonomi dan teknologi yang selari dengan rakan-rakan serantau.

    Namun pada masa yang sama, Brunei terus mengekalkan keunikan budaya dan pendiriannya sendiri dalam mencapai hasrat sebuah negara maju yang terus relevan di persada serantau dan antarabangsa menerusi transformasi ekonomi yang menjurus kepada usaha mempelbagaikan ekonomi daripada cuma bergantung kepada industri minyak dan gas.

    Negara Brunei Darussalam sejak mencapai kemerdekaan pada 1984, terus mengecapi pembangunan yang pesat dan menikmati kemakmuran serta di antara taraf kehidupan yang tertinggi di rantau Asia di mana kemakmuran itu adalah atas keprihatinan serta kebijaksanaan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang terus inginkan Brunei tidak hanya berpuas hati dengan pembangunan yang telah tercapai tetapi untuk terus berusaha supaya negara akan mampu bersaing dengan negara-negara membangun dan maju di dunia.

    Kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat dan penduduk negara harus dipertahankan dan usaha harus digandakan supaya ekonomi negara yang kini masih lagi kuat bergantung pada industri minyak dan gas harus dipelbagaikan dengan berpaksikan kepada matlamat Wawasan 2035.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berinteraksi dengan pelajar Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) semasa berangkat ke PTET dan Sekolah Rendah Tumpuan Telisai pada 20 Februari lalu bagi meninjau dengan lebih dekat perkembangan dan kemajuan pendidikan di negara ini. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berinteraksi dengan murid Sekolah Rendah Tumpuan Telisai semasa keberangkatan Baginda ke PTET dan Sekolah Rendah Tumpuan Telisai pada 20 Februari lalu bagi meninjau dengan lebih dekat perkembangan dan kemajuan pendidikan di negara ini. Program Literasi dan Numerasi Standard telah menyasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kebangsaan iaitu 80 peratus mencapai standard literasi dan numerasi Tahun 1 dan Tahun 3 pada 2020. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Wawasan 2035 memberikan penekanan yang tinggi kepada transformasi negara yang mempunyai rakyat dan penduduk yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi. Dalam hubungan itu, Kementerian Pendidikan sebagai agensi peneraju dalam membangun serta membentuk sumber tenaga manusia akan terus mendukung hasrat untuk merealisasikan Wawasan Negara 2035, khususnya dalam menghasilkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

    Dalam melahirkan rakyat dan warga Brunei yang berpendidikan serta mempunyai kemahiran abad ke-21, Kementerian Pendidikan meletakkan keutamaan yang tinggi kepada tahap literasi dan numerasi para pelajar di mana melalui program intervensi sekolah pelajar-pelajar Tahun 1, 2 dan 3, Program Literasi dan Numerasi Standard telah menyasarkan KPI (Key Performance Indicator) Kebangsaan iaitu 80 peratus mencapai standard literasi dan numerasi Tahun 1 dan Tahun 3 pada 2020.

    Dalam usaha untuk meningkatkan literasi dan numerasi para pelajar, Kementerian Pendidikan sedang melaksanakan Program Bimbingan Literasi dan Numerasi bekerjasama dengan mendatangkan pembimbing antarabangsa di mana fasa pelaksanaan telah bermula dari Januari 2017 dengan tiga inisiatif strategik; Program Bimbingan bagi Guru-guru Tempatan, Pembangunan Kapasiti bagi Systems Leaders dan Pembangunan Kapasiti bagi Pembimbing Tempatan.

    Seramai 60 orang pembimbing antarabangsa telah memberikan sokongan kepada lebih 700 orang guru tempatan secara berjadual di kesemua 155 buah sekolah kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

    Keberkesanan Program Pembimbing Literasi dan Numerasi (LNCP) daripada segi penglibatan pelajar di dalam pengajaran menunjukkan impak yang positif.

    Sementara itu, proses pemantauan pencapaian standard literasi dan numerasi adalah bermula dari Tahun 1. Bagi pelajar-pelajar Tahun 1, 2 dan 3, mereka di pantau melalui Program Assessment Tracker (AT) di mana, mana-mana pelajar yang tidak mencapai tahap yang dihasratkan, mereka akan dimasukkan ke dalam program intervensi dalam waktu kurikulum yang menggunakan Kerangka dan Garispandu bagi Intervensi Sekolah.

    Brunei terus mengekalkan keunikan budaya dan pendiriannya dalam mencapai hasrat sebuah negara maju yang terus relevan di persada serantau dan antarabangsa menerusi transformasi ekonomi yang menjurus kepada usaha mempelbagaikan ekonomi daripada cuma bergantung kepada industri minyak dan gas. – Gambar oleh Lenna N.B.
    Rakyat Negara Brunei Darussalam sejak mencapai kemerdekaan pada 1984, terus mengecapi pembangunan pesat dan menikmati kemakmuran serta muncul sebagai antara negara dengan taraf kehidupan rakyat tertinggi di rantau Asia. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Pada tahun 2018, Kementerian Pendidikan akan menyertai Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2018 bersama 80 negara lain. PISA merupakan satu sistem penilaian yang diterajui oleh Pertubuhan Kerjasama dan Ekonomi (OECD) untuk menilai sistem pendidikan di seluruh dunia setiap tiga tahun dengan menilai kecekapan pelajaryang berumur 15 tahun dalam membaca, Sains dan Matematik.

    Dalam mencapai matlamat berkenaan, kerjasama berterusan juga dilaksanakan dengan Akademi Guru Brunei Darussalam (BDTA) dan pihak Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE) untuk meningkatkan lagi keupayaan guru dalam melaksanakan program intervensi.

    Pada 2018 juga, Kementerian Pendidikan akan menyertai Programmme for International Student Assessement (PISA) 2018 bersama dengan 80 negara lain. PISA ialah satu sistem penilaian yang diterajui oleh OECD (Organisation for Economic Co-operation and Development) di mana ianya akan menilai sistem pendidikan di seluruh dunia setiap tiga tahun dengan menilai (assessing) kecekapan pelajar-pelajar yang berumur 15 tahun dalam Matematik, Sains dan Membaca.

    Negara-negara yang menyertai PISA akan dapat mengukur pencapaian sistem pendidikannya sendiri. Persiapan-persiapan sedang giat dilakukan ke arah pelaksanaan PISA pada April 2018.

    Dapatan daripada kajian PISA 2018 itu, nanti akan memberikan tanda aras mengenai tahap pencapaian proficiency pelajar-pelajar di negara ini dalam ketiga-tiga bidang yang dinyatakan tadi serta aspek-aspek yang perlu ditangani untuk mencapai tahap numerasi dan literasi yang disasarkan.

    Kementerian Pendidikan sepanjang 2017 sehingga masa kini iaitu melalui penggubalan Strategi Pendidikan di Peringkat Rendah dan Menengah menerusi pelaksanaan inisiatif Pendidikan Rendah dan Pendidikan Menengah di mana hasilnya pada 2017 menyaksikan peningkatan sebanyak 2.5 peratus pelajar kita telah memperoleh gred A hingga C dalam PSR dari 2016 iaitu pencapaian yang tertinggi melepasi 70 peratus sejak SPN 21 diperkenalkan.

    Dalam usaha untuk meningkatkan literasi dan numerasi para pelajar, Kementerian Pendidikan sedang melaksanakan Program Bimbingan Literasi dan Numerasi dengan mendatangkan pembimbing antarabangsa di mana fasa pelaksanaan telah bermula dari Januari 2017 dengan tiga inisiatif strategik. – Gambar oleh NAJ
    Kementerian Pendidikan sepanjang 2017 sehingga kini melalui penggubalan Strategi Pendidikan di Peringkat Rendah dan Menengah menerusi pelaksanaan inisiatif Pendidikan Rendah dan Menengah menyaksikan peningkatan sebanyak 2.5 peratus pelajar kita pada 2017 telah memperoleh gred A hingga C dalam PSR dari 2016 iaitu pencapaian yang tertinggi melepasi 70 peratus sejak SPN 21 diperkenalkan.
    Kementerian Pendidikan sebagai agensi peneraju dalam membangun serta membentuk sumber tenaga manusia akan terus mendukung hasrat untuk merealisasikan Wawasan Negara 2035, khususnya dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi. – Gambar oleh Lenna N.B.

    Pencapaian itu telah mencerminkan usaha seluruh warga Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing terutama sekali tenaga pengajar untuk mendidik anak-anak bangsa dan memastikan mereka mendapatkan pendidikan yang berkualiti.

    Di samping itu, meningkatkan kemahiran guru dan keupayaan kepimpinan pengetua atau guru besar dengan mengukuhkan lagi kualiti pemimpin-pemimpin sekolah mengukuhkan kualiti pengajaran dan pembelajaran yang menjurus ke arah perkembangan kemahiran abad ke-21, melaksanakan School-Home Link di antara ibu-bapa dan sekolah-sekolah serta menyediakan satu sistem yang saling mendukung jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pendidikan.

    Semua usaha-usaha strategik itu, Kementerian Pendidikan akan terus mara ke hadapan ke arah mencapai sasaran dan KPI bagi merealisasikan Wawasan 2035.

    Pada masa yang sama juga, usaha itu akan menyumbang ke arah sasaran Kementerian Pendidikan pada tahun ini iaitu 90 peratus kadar pelajar mendapat gred A hingga C dalam keseluruhan mata pelajaran bagi PSR dan 60 peratus pelajar yang mendapat Kredit dalam Brunei GCSE O Level dan IGCSE.

    Semua usaha itu, merupakan komitmen Kementerian Pendidikan untuk menyokong transformasi negara untuk bukan sahaja mempunyai ekonomi yang berdaya saing, dinamik, kompetitif dan mapan tetapi mempunyai rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi bagi merealisasikan Wawasan 2035.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda