Oleh Nurdiyanah R. –
Menerusi pendidikan, sesebuah bangsa itu akan memperoleh ilmu yang boleh membezakan antara yang benar dan yang batil. Tanpa ilmu, kehidupan masyarakat itu umpama diselubungi kegelapan.
Tahun ini genaplah 41 tahun Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan yang pastinya satu anugerah dan rahmat Allah SWT kepada rakyat dan penduduk negara yang wajib disyukuri sebagai tanda kecintaan kita terhadap agama, bangsa dan negara.
Sehubungan itu, ke arah memperkasakan sistem pendidikan negara, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerusi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sebagai agensi-agensi peneraju dalam membangun serta membentuk sumber tenaga manusia terus mendukung hasrat untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi serta berakhlak mulia, seiring dengan sektor pembangunan dan ekonomi negara.
PEMERKASAAN PROGRAM STEAM
Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) telah dikenal pasti amat penting dalam usaha untuk melahirkan pelajar siaga masa hadapan dalam dunia yang semakin dikuasai kemajuan teknologi dan inovasi yang pesat.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh semasa menyampaikan sembah alu-aluan pada Majlis Sambutan Hari Guru ke-34 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, pada tahun lalu antaranya mengongsikan Kementerian Pendidikan sedang giat melaksanakan Program Kemahiran dan Pendidikan STEAM (SES) di semua peringkat pendidikan.
Sehubungan itu, sebuah buku garis panduan SES untuk sekolah rendah telah dihasilkan sebagai panduan bagi melaksanakan aktiviti STEAM menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan projek dan inkuiri. Penawaran mata pelajaran Teknologi, Kejuruteraan dan Seni sebagai salah satu mata pelajaran pilihan teras di peringkat menengah atas juga telah dilaksanakan pada awal tahun lalu.
Yang Berhormat Datin turut menambah dalam usaha mendidik warga sekolah, khususnya para pelajar untuk lebih beretika, berhemah dan bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi dan dunia digital, Kementerian Pendidikan telah melancarkan Digital Citizenship Framework. Di peringkat pengajian tinggi pula, Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menerbitkan buku bertajuk Policy and Guidelines on Generative Artificial Intelligence sebagai rujukan kepada institusi-institusi pendidikan lain.
PERKASA GOLONGAN PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS
Dalam menjana transformasi pendidikan merentasi cabaran globalisasi, kesejahteraan dan pendidikan pelajar-pelajar berkeperluan khas turut diberikan perhatian sewajarnya oleh Kementerian Pendidikan, salah satunya menerusi Program Pra-Vokasional.
Program Pra-Vokasional adalah sebuah program pendidikan khas untuk memenuhi keperluan dua kumpulan pelajar yang dikenal pasti sebagai pelajar berkeperluan khas tahap tinggi dan yang mengalami masalah pembelajaran. Program ini berjalan selama lima tahun, mulai Tahun 7 hingga Tahun 11.
Pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan dalam program ini lebih berfokuskan kepada kemahiran-kemahiran tertentu iaitu kemahiran akademik berfungsi, kemahiran bahasa dan komunikasi, kemahiran pengurusan diri, kemahiran asas vokasional dan kemahiran asas kerja, masing-masing mengikut tahap dan kebolehan individu itu sendiri.
TEROKAI PEMBELAJARAN ISLAM SECARA INTERAKTIF
Ke arah usaha murni melahirkan generasi berpaksikan ajaran agama Islam, Badan Sukarelawan Belia Daie di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Dakwah lslamiah (PDI) dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong telah menjayakan Program ‘llm Series kali ke-21 bagi Tahun 2025 pada 14 Februari lalu.
Dengan tujuan memberikan pengetahuan dan pemahaman kepada kanak-kanak tentang asas-asas Rukun Islam melalui kaedah inovatif dan menyeronokkan, program dengan tema Sembahyang Mencerdaskan Minda itu telah disertai kanak-kanak yang mengikuti kelas mengaji Al-Quran dan Muqaddam di Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong.
SEMAI PENDIDIKAN PATRIOTISME
Sewajarnya semangat patriotisme bukan hanya dirai pada Hari Kebangsaan negara sahaja, tetapi juga perlu dihayati sepanjang masa dalam hati setiap lapisan masyarakat.
Golongan ibu bapa atau penjaga merupakan pendidik pertama dan utama dalam mendidik dan membentuk keperibadian anak-anak. Ibu bapa hendaklah memberikan tumpuan dan mempertingkatkan hubungan kasih sayang selain memupuk nilai-nilai positif dengan anak-anak.
Ke arah itu, Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) diperkenalkan untuk memberikan pengetahuan, kesedaran dan pendedahan yang amat bermanfaat kepada pelatih-pelatih khususnya dalam mempersiapkan mereka untuk mencurahkan khidmat bakti yang tidak berbelah-bahagi kepada agama, raja dan negara tercinta sesuai dengan moto PKBN iaitu ‘Bersedia, Berkhidmat, Berbakti.’
Sehubungan itu, Media Permata, baru-baru ini berkesempatan menemu bual Pengasas dan Pengerusi Al-Uswah Kesatuan Ibu Bapa Pelatih / Alumni (KIBPA) PKBN, Haji Sohaili bin Haji Mohidi. Beliau menekankan ibu bapa atau penjaga perlu memainkan peranan proaktif dalam membentuk dan mengekalkan kesinambungan pembelajaran anak-anak mereka sepanjang mengikuti sesi latihan selama 103 hari di PKBN agar tidak leka atau lalai dengan perkara-perkara yang mampu meruntuhkan akhlak dan jati diri selepas menamatkan program tersebut.
“Apa yang diharapkan, kita selaku ibu bapa atau penjaga bukan hanya sentiasa menyokong kewujudan anak-anak alumni PKBN, malah juga sentiasa bersama para alumni dalam mengadaptasi sekali gus menerima secara positif akan kewujudan segala kemajuan dan perubahan mengikut zaman dunia teknologi masa kini.
“Namun tetap tegas memastikan agar seluruh masyarakat khususnya para alumni kekal dalam landasan falsafah Melayu, Islam dan Beraja (MIB) serta mengekalkan Calak KeBruneian sebagai sebuah Negara Zikir,” tekan beliau yang juga seorang aktivis ibu bapa yang memperjuangkan kesinambungan PKBN bersama keluarga para pelatih.
Al-Uswah KIBPA PKBN telah ditubuhkan sejak PKBN ke-7 bagi sesi 2017-2018 dan kini mempunyai lebih 640 orang ahli jawatankuasa yang tergolong daripada ibu bapa dan keluarga para pelatih dan alumni PKBN secara keseluruhannya.
SOKONGAN IBU BAPA, PEMACU KEJAYAAN
Dalam pada itu, Hajah Erni binti Haji Abd Rahim selaku ibu kepada salah seorang pelatih PKBN, Awang Mohammad Syafie Amzar bin Haji Sharifulbahrin, yang diraikan semasa Upacara Perbarisan Tamat Latihan PKBN Pengambilan ke-13 di Padang Kawad, Kem Latihan, Batu Apoi, Daerah Temburong, baru-baru ini, berkata PKBN amat bermanfaat dalam membentuk disiplin, jati diri serta semangat patriotisme dalam diri anak-anak muda.
“Saya percaya penyertaan anak sulung saya ini dalam PKBN ini akan memberikan pengalaman berharga yang bukan sahaja membentuk dirinya menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, tetapi juga lebih berdaya saing dalam menghadapi cabaran hidup,” ujar beliau yang ditemani suaminya, Haji Sharifulbahrin bin Haji Zainal.
Haji Sharifulbahrin turut menambah dia bersama isteri amat sedar bahawa peranan ibu bapa sangat penting dalam membentuk anak-anak sejak dari kecil.
Mereka bertanggungjawab memastikan anak-anak membesar dengan nilai-nilai yang kukuh, termasuklah jati diri kebangsaan berlandaskan falsafah MIB.
“Besarlah harapan kami agar pengalaman serta ilmu yang diperoleh sepanjang program ini akan menjadi asas kukuh dalam membentuk masa depan anak-anak kami sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara, baik dalam sektor pekerjaan, kepimpinan, mahu pun dalam kehidupan bermasyarakat.
“Sebagai ibu bapa, kejayaan anak kami dalam program ini membuktikan latihan serta nilai-nilai yang diterapkan dalam PKBN benar-benar membawa manfaat yang besar kepada generasi muda Brunei,” ujar mereka di akhir pertemuan bersama penulis.
TERUS TANAI TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Sejajar tema Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam tahun ini, Bersatu Mencapai Cita Negara, negara pasti akan terus proaktif dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035.
Oleh yang demikian, kita sebagai anak-anak Brunei sejati, teruslah berjuang selagi masih dikurniakan rezeki kesihatan, bangkitlah bersama demi mewujudkan kesejahteraan bangsa, agama dan tanah air. Selamat menyambut Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41!