Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendidikan inklusif pupuk pembelajaran positif

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Usaha dalam menyediakan pendidikan inklusif untuk semua pelajar di negara ini telah membawa kepada penubuhan sekolah khusus seperti Pusat Kecemerlangan dan Model Sekolah Inklusif.

    Di samping itu, program sokongan telah direka dan dilaksanakan untuk memenuhi pelbagai keperluan pelajar kurang upaya, memastikan mereka mendapat pendidikan berkualiti dan perkhidmatan sokongan seperti yang dinyatakan dalam Garis Panduan Dasar Pendidikan Khas (1997).

    Pendekatan inklusif terhadap pendidikan ini, bukan sahaja menggalakkan peluang yang sama tetapi juga menyokong integrasi dan penerimaan pelajar yang mempunyai kebolehan yang pelbagai ke dalam bilik darjah arus perdana.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dalam ucapannya selaku tetamu kehormat pada Seminar Pakar Pendidikan ke-3 anjuran Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengurusan Pendidik yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa BRIDEX, Jerudong, hari ini.

    Yang Berhormat Datin seterusnya berkata bahawa program pendidikan inklusif membantu mewujudkan pemahaman, membentuk sikap, dan memupuk persekitaran pembelajaran yang positif.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa melawat pameran di Pusat Persidangan Antarabangsa BRIDEX, Jerudong, kelmarin. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
    Sekolah Menengah Sayyidina Husain telah mengadakan Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia di dewan serba guna sekolah berkenaan, yang dihasratkan dapat menyokong program sekolah yang berfokus kepada akademik dan kurikulum pelajar. – Gambar serahan Sekolah Menengah Sayyidina Husain
    Antara yang hadir pada seminar tersebut. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

    Beliau berharap agar usaha seumpamanya memastikan pelajar lebih bersedia untuk menjalani kehidupan bermasyarakat sebagai anak-anak pada masa ini mahupun setelah menginjak dewasa nanti.

    Seramai 455 orang peserta terdiri daripada calon pakar pendidikan, guru-guru berkeperluan pendidikan khas (SEN), Learning Support and Learning Recovery Team dari Kementerian Pendidikan serta tenaga pengajar dari sekolah-sekolah kerajaan dan swasta di Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Pusat Bahagia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Pada majlis itu, Yang Berhormat Menteri Pendidikan turut menyempurnakan perasmian dan pelancaran Rangka Kerja Kompetensi Pakar Pendidikan Brunei Darussalam (BDESCF).

    Seminar diteruskan lagi dengan ucaptama bertajuk The Road to Inclusive Education – Barriers and Facilitators Towards Holistic Outcomes yang disampaikan oleh Pakar Psikologi Pendidikan Utama, dari Kementerian Pendidikan, Republik Singapura, Profesor Madya Dr Sharifah Mariam Aljunied dan diikuti dengan sesi perbincangan dan soal jawab yang dimudah cara oleh Pegawai Pelajaran Kanan dari Jabatan Pendidikan Khas di Kementerian Pendidikan, Pengiran Haziq Al-Mukhtar bin Pengiran Haji Shahbudin.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan turut dibawa melawat ke pameran yang disediakan pada majlis tersebut.

    Sesi petang pula diteruskan dengan sesi-sesi bengkel yang dimudah cara oleh penyampai ucaptama iaitu Pemangku Ketua Jabatan Pendidikan Khas di Kementerian Pendidikan, Awang Eddy Fazlin bin Haji Amdan.

    Majlis diakhiri dengan penyampaian resolusi oleh Ketua Unit Kepakaran, Jabatan Pengurusan Pendidik, Hajah Rosinah binti Haji Sabli.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda