Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendidikan inklusif, responsif terus jadi keutamaan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Kementerian Pendidikan terus komited dalam memastikan sistem pendidikan negara sentiasa inklusif, responsif dan fokus kepada keperluan pelajar merentas pelbagai latar belakang dan keupayaan.

    Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh menjelaskan perkara berkenaan semasa menjawab beberapa pertanyaan lisan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) semasa Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan ke-21, MMN bagi Tahun 2025.

    Menjawab soalan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed mengenai pelaksanaan pendidikan khas, Yang Berhormat Datin memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Khas (JPKhas) memastikan pelaksanaan pendidikan khas di semua institusi termasuk sektor swasta dilaksanakan secara konsisten berdasarkan Rangka Kerja Pendidikan Khas (SEF) yang berasaskan prinsip 5A Akses, Kurikulum Disesuaikan, Arahan Disesuaikan, Penilaian Disesuaikan, Penerimaan.

    Pemantauan berkala dilaksanakan melalui kaedah seperti School Review, School Placement Meeting (SPM), Laporan Kemajuan Pelajar (LKP) dan School Transition Meeting (STM).

    Setakat ini, seramai 207 pendidik telah dilatih melalui inisiatif Special Educational Needs Support Educators (SENSE) dan 113 pegawai pengurus pelajar berkeperluan khas telah ditempatkan melalui program SkiPPA.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah berucap semasa Mesyuarat Kedua, MMN. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Beberapa inisiatif turut diwujudkan seperti Learning Assistance Centre (LAC), Model Inclusive School (MIS) dan Centre of Excellence (CoE). Empat CoE kini beroperasi di beberapa sekolah rendah dan menengah, termasuk penubuhan sekolah khas swasta seperti Sekolah Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam bagi pelajar tahap Priority Level 4 dan 5.

    Mengenai dengan soalan sokongan berstruktur untuk pelajar under-performing (PL 183) yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, Yang Berhormat Datin menjelaskan bahawa pihak kementerian telah melaksanakan Student Learning Survey (SLS), iaitu penilaian psikometrik kebangsaan untuk mengenal pasti pelajar yang memerlukan sokongan tambahan.

    Melalui data SLS, pelajar yang kurang berprestasi akan disalurkan ke program Learning Support Programme (LSP) yang mula dilaksanakan pada 2022. Program itu memberi panduan kepada sekolah dalam merancang pendekatan pembelajaran bersasar seperti kelas tambahan dan early-morning intervention.

    Kementerian juga sedang mengukuhkan amalan Data-Driven Culture (DDC) bagi membantu guru merancang strategi pengajaran berfokus berdasarkan data prestasi pelajar.

    Dalam menjawab soalan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof mengenai pensijilan khas bagi pelajar Tahun 7 hingga 9 yang berprestasi rendah, Yang Berhormat Menteri Pendidikan menjelaskan bahawa belum terdapat keperluan untuk memperkenalkan pensijilan khas bagi kumpulan ini.

    Ini kerana pelajar di peringkat tersebut masih perlu mengikuti common curriculum sebagai asas sebelum memilih aliran pengkhususan seperti Special Applied Program (SAP) menjelang Tahun 11. Bagi melanjutkan pengajian ke tahap pasca menengah, pelajar sekurang-kurangnya perlu menamatkan pembelajaran hingga Tahun 10 atau 11, termasuk menyertai program Industrial Skills Qualification (ISQ) di bawah Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).

    Menjawab soalan mengenai pelajar above-average IQ, Yang Berhormat Datin memaklumkan bahawa kementeriannya telah menubuhkan Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat (EDGE) pada tahun 2021.

    Pusat EDGE bertanggungjawab dalam mengenal pasti, memantau dan membangunkan bakat pelajar cerdas pintar, termasuk melalui program kepimpinan dan pertandingan di peringkat antarabangsa. Antara penyertaan pelajar ialah APEC Cross Mentoring Research Activity, ASEAN+3 Center for the Gifted in Science Student Camp dan International Science Youth Forum.

    Usaha tersebut bertujuan membina pelajar yang berdaya saing serta memiliki kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah dan kepimpinan dalam suasana global.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda