Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) hari ini telah mengumumkan Sidang Kemuncak Pemerkasaan Belia BIBD (BIBD YES!) yang akan berlangsung selama tiga hari iaitu 11, 18 dan 27 Disember.
Sidang itu merupakan inisiatif tertumpu belia yang bertujuan untuk memberi inspirasi kepada perubahan positif dengan mengingatkan belia bahawa mereka bukanlah terlalu muda untuk membuat perubahan.
Menurut kenyataan BIBD, majlis penandatanganan yang dijalankan secara maya telah diadakan untuk menggariskan program persidangan dan menghargai para penaja. Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dipetik berkata sebagai sebuah bank yang berjiwa Brunei, membangun belia dan memastikan generasi muda berasa diperkasa, teraspirasi dan bermotivasi untuk melakukan perubahan adalah satu yang sangat dekat di hati.
Beliau menjelaskan, tema Developing Resilient Future Leaders Together! untuk BIBD YES! tahun ini melihat ke arah menyediakan sokongan yang amat diperlukan golongan belia di tengah-tengah semua orang bangkit semula daripada kesan pandemik. Bagi program tahun ini, BIBD sekali lagi akan menjadi penaja hos bersama TotalEnergies Brunei selaku penaja platinum berganda. Manakala itu, Brunei Gas Carriers, Brunei LNG, CIC Environmental Services, Insurans Islam TAIB serta Progresif pula penaja platinum.
Penaja emas terdiri daripada Jerudong Park Medical Centre dengan Teck Guan Holdings dan McDonald’s selaku penaja perak. Program itu dikendalikan oleh Curious Mind yang telah menganjurkan program pemerkasaan belia tahunan sejak tiga tahun lalu. Memandangkan acara itu dijalankan secara maya tahun ini, Progresif juga telah menyumbangkan sejumlah data Internet bernilai $3,600 untuk membantu peserta dengan keperluan internet terutama semasa sidang kemuncak itu nanti.
Pada tahun ini, seramai 180 pelajar menyertai Program Centre for The Development of Gifted and Talented Education (EDGE), Kementerian Pendidikan akan menyertai BIBD YES! sebagai peserta teras selama tiga minggu berturut-turut. Program interaktif itu akan membahagikan mereka kepada sembilan pasukan yang berbeza.
BIBD YES! akan disertai sehingga 1,000 peserta maya dengan lebih banyak peruntukan biasiswa dibuka kepada orang ramai untuk permohonan.
