Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pendidikan seimbang duniawi, ukhrawi

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Kelakuan kanak-kanak pada zaman sekarang agak membimbangkan, tegas khatib, kerana mudah terpengaruh dengan isu-isu sosial yang agak sukar dikawal oleh ibu bapa seperti buli, penyalahgunaan dadah, lari dari rumah, tidak bersekolah dan pelbagai ragam lagi.

    Sehubungan itu, ibu bapa atau penjaga diingatkan agar tidak boleh mengambil ringan, cuai dan lalai dalam menunaikan hak dan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak, tekan khatib semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk Anak adalah Amanah Allah SWT.

    Tugas mendidik anak, katanya, bukanlah satu tugas yang mudah dan boleh dipandang ringan, kerana didikan ibu bapa atau penjaga pada peringkat awal adalah penentu ke arah mana corak dan masa depan, lebih-lebih lagi pada zaman yang penuh dengan pelbagai cabaran ini.

    “Jika hasil didikan menjadikan anak itu seorang anak yang soleh, ibu bapa juga mendapat pahala dan sebaliknya jika didikan yang diberikan tidak sempurna, ibu bapa yang akan menanggung sama akibatnya di hadapan Allah,” jelasnya.

    Jika jiwa anak-anak itu telah dididik dan disemai dengan ajaran agama Islam yang kuat, Insya-Allah akan menjadi orang yang beriman, cinta pada Allah dan rasulNya, menjadi anak yang soleh, berbakti kepada agama, ibu bapa, masyarakat dan juga negara.

    Gambar Fail

    Ini kerana jika mereka lalai dan kurang memberikan perhatian kepada kelakuan anak-anak, dikhuatiri anak-anak akan terjebak dengan gejala negatif atau kegiatan kurang bermoral yang menyalahi agama Islam, bahkan juga melanggar adat dan tatasusila serta melanggar undang-undang negara.

    Pendidikan yang sempurna dan seimbang antara duniawi dan akhirat amat mustahak diberikan kepada anak-anak kerana, tanpa adanya ilmu pengetahuan tidak dapat membezakan antara yang hak dan batil.

    Selain itu, sebagai ibu bapa atau penjaga, mereka hendaklah sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap anak-anak sama ada dari segi emosi, mental mahupun fizikal.

    Ikutlah tatacara mendidik anak berpandukan sunnah Rasulullah SAW dalam hal makan dan minum, tidur, memelihara keluarga dari dijangkiti penyakit dan menghalang mereka dari perkara-perkara maksiat termasuk pengaruh media sosial di zaman ini.

    Walau bagaimanapun, peranan tersebut tidak cukup untuk digalas oleh ibu bapa sahaja, bahkan memerlukan peranan masyarakat secara menyeluruh tidak kira bangsa.

    Dalam hal ini, jelasnya, Negara Brunei Darussalam telah menjadi ahli kepada Konvensyen Hak Kanak-kanak yang menghuraikan hak kanak-kanak untuk kesejahteraan kehidupan termasuk hak bagi kehidupan, hak untuk perlindungan, hak bagi perkembangan dan hak untuk penglibatan dalam perkara yang berkepentingan bagi mereka.

    Dengan mencapai hak kanak-kanak tersebut, diharap akan dapat memberikan masa depan yang cerah bagi mereka, demi memastikan kanak-kanak di negara ini berupaya untuk menjalani kehidupan yang lebih selamat dan berkualiti, ia penting bagi mengembangkan lagi ekosistem perlindungan kanak-kanak.

    Di samping itu, tegas khatib, janganlah lupa akan saudara yang berada di Gaza, Palestin, di mana kesejahteraan kanak-kanak di sana juga sangat terancam.

    Ke arah itu, Brunei telah menubuhkan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 pada 18 Oktober yang lalu bertujuan untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa penduduk Palestin di Gaza.

    Sehubungan itu, khatib menyeru untuk sama-sama menghulurkan derma ke tabung Palestin di Gaza 2023 melalui tabung yang disediakan di masjid, surau dan balai ibadat, bangunan bank, gedung perniagaan dan bangunan awam di seluruh negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...