Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Mesyuarat Kumpulan Kerja Perusahaan Kecil dan Sederhana APEC ke-53 (SMEWG) bersidang secara maya selama dua hari pada 27 hingga 28 April yang lalu.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pembangunan Perniagaan dan Sokongan di Darussalam Enterprise (DARe), Dayang Norlela binti Suhailee dan turut dihadiri oleh wakil daripada agensi berkaitan MSME dalam ekonomi APEC.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Pengarah Bahagian Ekosistem Industri dan Perniagaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Allen On selaku ketua delegasi Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat tersebut serta pegawai-pegawai dari kementerian dan DARe.
Mesyuarat berkenaan telah dianjurkan oleh Chile, yang mana memberi peluang kepada ekonomi ahli APEC untuk bertukar maklumat dan berkongsi amalan serta dasar terbaik yang menyokong pertumbuhan dan pembangunan PKS di rantau Asia Pasifik. Sehubungan itu, ia terus memberi tumpuan kepada pelbagai projek dan inisiatif yang dilaksanakan di bawah lima keutamaan Pelan Strategik SMEWG 2021 hingga 2024.
Pelan Strategik SMEWG bertindak sebagai panduan untuk menangani isu kritikal yang berkaitan dengan pertumbuhan PKS di rantau APEC.
Ketua Bahagian PKS Kementerian Ekonomi, Pembangunan dan Pe-lancongan Chile, Manuel Lopez dalam ucapan alu-aluannya, berkongsi bahawa pandemik datang dengan pengajaran dan peluang dalam bentuk corak penggunaan, interaksi antara individu dan organisasi serta transformasi digital dipercepatkan. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa hanya kewujudan teknologi atau akses kepada pembiayaan tidak menjamin pelaksanaan strategi yang betul yang membolehkan syarikat meningkatkan pro-duktiviti dan daya saing mereka.
Dalam hal ini, adalah penting untuk membangunkan visi bersama, yang membolehkan PKS dan usahawan memajukan kemungkinan pengeluaran mereka ke arah yang betul, dan APEC menyediakan peluang untuk berbuat demikian pada skala global.
Sementara itu, Dayang Norlela dalam ucapannya menekankan kepentingan dasar dan kerjasama untuk meningkatkan pertumbuhan dan daya tahan MSME yang terus disampaikan oleh SMEWG dengan menghimpunkan pembuat dasar untuk berkongsi amalan terbaik dan dasar kreatif.
Beliau juga menyatakan bahawa pelbagai projek juga telah dicadangkan dan dilaksanakan di peringkat SMEWG dalam usahanya untuk menggalakkan pendigitalan, inovasi dan penggunaan teknologi untuk membina daya tahan MSME.