KUALA LUMPUR, 1 MEI – Pendigitalan adalah langkah yang perlu diambil oleh usahawan untuk memastikan syarikat kekal berdaya saing dan kekal mampan dalam persekitaran normal baharu di mana tenaga kerja terpaksa berdepan dengan pelbagai impak pandemik COVID-19.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpendapat bahawa dalam situasi ini tenaga kerja di Malaysia amat cepat menyesuaikan diri dengan keperluan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, dalam berhadapan dengan cabaran ini, pekerja dan majikan telah berjaya meningkatkan penggunaan teknologi digital demi memudahcara tugasan dan ini telah meninggikan produktiviti serta keberkesanan proses.
“Perubahan ini juga melambangkan hala tuju Malaysia ke arah menjadi sebuah negara yang maju dan seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan yang menekankan kemampanan dalam pekerjaan, kesihatan yang baik, kesejahteraan hidup dan kerjasama strategik,” katanya dalam perutusan Hari Pekerja Tahun 2020, yang dikeluarkan hari ini. – Bernama