Pendigitalan bantu perdagangan rentas sempadan

KUALA LUMPUR, 9 MAC – Pendigitalan dapat mengurangkan cabaran dalam perdagangan rentas sempadan ketika penularan COVID-19 yang berlaku ketika ini, menurut SealNet Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif, Chong Yoke Ching berkata penyelesaian digital termasuk platform e-dagang yang memanfaatkan teknologi data raya dan pengkomputeran awan akan membawa nakan sistem logistik pintar.

“Perniagaan dalam perdagangan, logistik dan rantaian bekalan dapat memberi maklum balas secara pantas serta mengurangkan halangan perdagangan rentas sempadan, yang timbul susulan sekatan mobiliti dan jarak sosial yang semakin bertambah, menerusi peningkatan pergantungan kepada pendigitalan dalam proses perdagangan rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan.

Chong berkata perniagaan perlu meneroka peluang untuk berada dalam ekosistem tersebut selain beralih kepada sistem awan dengan bekerja secara jarak jauh, persidangan video, latihan dalam talian serta yang berkaitan, semua ini bertujuan membantu industri untuk saling terhubung walaupun dalam tempoh semasa yang mencabar.

SealNet, anak syarikat Dagang Nexchange Bhd (DNeX), menawarkan sistem sehenti berasaskan web yang direka khusus untuk memudahkan proses pengurusan perdagangan dan kargo, menghubungkan pengeksport dan pengimport dengan semua pihak berkaitan, seperti syarikat pengangkutan dan pihak kargo, di samping membolehkan pertukaran data perdagangan secara digital. – Bernama