Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Dalam era transformasi yang pesat, mengintegrasikan teknologi digital ke dalam amalan profesional bukan sahaja sebagai sebuah trend tetapi juga merupakan satu kemestian.
Sesebuah negara pintar tidak terhad kepada penggunaan teknologi sahaja bahkan merangkumi pembangunan sebuah ekosistem saling berkaitan di mana data, proses dan sistem bergabung dengan lancar untuk meningkatkan kualiti kehidupan, memacu pertumbuhan ekonomi dan memajukan kemampanan.
Profesion ukur bahan adalah penting bukan sahaja dalam industri pembinaan tetapi merentasi pelbagai sektor di mana di Brunei, di bawah Kementerian Pembangunan, Lembaga Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan (BAPEQS) memastikan standard tertinggi profesionalisme dalam bidang ukur bahan.
“Peraturan ini menekankan kepentingan integriti dan kepakaran dalam bidang kita, di mana juruukur bahan bukan sahaja pakar kos tetapi juga penting dalam mengurus dan mentadbir kontrak bangunan.” Perkara itu ditekankan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dalam ucapannya semasa Perasmian Kongres Pacific Association of Quantity Surveyors (PAQS) 2024 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong hari ini.

Beliau menyatakan dengan lanjut bahawa bidang ukur bahan seperti profesion lain dalam industri pembinaan, berada di barisan hadapan revolusi industri dengan profesion yang secara tradisinya dikenali bagi pengurusan kos dan ukuran tepat, ia kini telah melalui sebuah anjakan paradigma.
Teknologi canggih seperti Building Information Modeling (BIM), kecerdasan buatan (AI) dan blockchain telah merubah metodologi dan peralatan yang digunakan serta telah mempertingkatkan aliran kerja dan menawarkan keupayaan serta pandangan yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa tema kongres, Pendigitalan ke arah sebuah Negara Pintar, amat bertepatan di mana ia merangkumi perjalanan transformasi yang sedang dilalui di mana ia mencerminkan komitmen negara untuk memanfaatkan kuasa teknologi digital untuk membina persekitaran mampan, lebih cekap dan lebih pintar.
“Perjalanan ini menuntut kita menerima perubahan, menyesuaikan diri dan terus mengembangkan pengetahuan kita,” ujar YB Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda lagi. Beliau menerangkan bahawa industri pembinaan telah bergerak melangkaui amalan-amalan tradisional dan ukur bahan juga tidak harus terkecuali.
Dengan pendigitalan dan kecerdasan berada di barisan hadapan, ia telah merevolusikan bukan sahaja industri kita tetapi juga telah membentuk semula gaya hidup dan ekonomi kita. Namun begitu, ulasnya, sedang kita mengguna terima pendigitalan, kita harus tetap teguh dalam memulihara budaya, warisan, nilai-nilai kemanusiaan, integriti dan profesionalisme.