PUTRAJAYA, 30 DIS – Kerajaan akan memastikan pendigitalan ekonomi negara tidak akan menyisihkan mana-mana pihak dalam arus kemajuan mengikut perkhidmatan 3A – ‘available, accessible & affordable’ (tersedia, boleh diakses dan berpatutan), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau yang memetik laporan Jabatan Perangkaan, berkata ekonomi digital juga dijangka menyumbang lebih 21 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 berbanding 18.5 peratus pada 2018.
“Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020, kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM450 juta untuk program e-dompet bagi menggalakkan penggunaan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan peniaga,” katanya pada majlis penutup Festival Literasi Teknologi Kewangan (LIFT) Putrajaya 2019, di sini hari ini.
Program e-dompet yang dijangka memanfaatkan 15 juta rakyat, menawarkan RM30 secara ‘sekali-bayar’ kepada mereka berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan kurang daripada RM100,000 setahun. – Bernama