HOUSTON, 28 MAC – Taylor Pendrith dari Kanada, Alejandro Tosti dari Argentina serta dua pemain golf Amerika Syarikat (AS), Keith Mitchell dan Ryan Gerard, berkongsi kedudukan teratas kelmarin, selepas pusingan pertama Kejohanan PGA Terbuka Houston terhenti akibat cuaca mendung.
Keempat-empat pemain mencatat lima bawah par 65 di Memorial Park sebelum matahari terbenam menghentikan permainan kerana cuaca hujan, dengan 18 pemain masih belum melengkapkan pusingan pertama mereka yang akan disambung pagi hari ini.
Pemain nombor satu dunia, Scottie Scheffler, yang menjadikan kejohanan ini sebagai pemanas badan terakhir, sebelum mempertahankan gelaran Masters bulan depan, mencatat 67 tanpa bogey dan berada dua pukulan di belakang pendahulu.
“Saya mula bermain lebih baik di sembilan lubang terakhir. Sembilan lubang pertama agak mencabar, tetapi saya tetap mencatat mata yang baik,” katanya.
“Keadaan agak sukar dengan hujan dan angin, jadi secara keseluruhan, gembira kerana berjaya mengekalkan kad bersih.”

Pemain nombor dua dunia, Rory McIlroy, yang menjuarai Players Championship dan Pebble Beach Pro-Am serta hanya memerlukan kemenangan di Masters untuk melengkapkan Career Grand Slam, mencatat dua birdie dan dua bogey untuk mata 70 di pusingan pertama. “Persembahan saya agak hambar,” kata McIlroy.
“Awal permainan perlu berdepan dengan hujan dan keadaan tidak bagus untuk bermain.
Saya berjaya menyelamatkan beberapa par yang penting, tetapi banyak peluang pada sembilan lubang terakhir yang saya gagal manfaatkan.”
Satu-satunya pemain dalam jarak dua pukulan dari pendahulu yang masih belum menamatkan pusingan ialah Taylor Dickson dari AS, yang berada di tiga bawah par dengan tiga lubang berbaki.
Pendrith, yang satu-satunya kejuaraan PGA adalah CJ Cup Byron Nelson pada Mei lalu, berpeluang mendahului secara solo tetapi membuat satu-satunya bogey di lubang ke-18 selepas bola terperangkap dalam bunker hijau dan gagal memasukkan putt par sejauh sembilan kaki. – AFP