Monday, January 6, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk ambil air bukit Kampung Sepakat ketika gangguan bekalan air

    BALIK PULAU, 12 JAN – Penduduk di Teluk Kumbar yang masih terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual memilih untuk mendapatkan air dari air bukit di Bukit Kampung Sepakat, Teluk Kumbar, kerana ia bukan sahaja bersih malah selamat untuk digunakan untuk minum dan masak makanan.

    Kawasan Bukit Kampung Sepakat yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah orang ramai di situ, menjadi tumpuan penduduk sejak hari Rabu lepas bagi mendapatkan bekalan air bersih.

    Seorang penduduk Muhamad Said, 60, berkata mata air dari air bukit itu telah wujud sejak lebih 30 tahun lepas, namun beliau dan pemilik kebun durian di situ telah membuat saluran paip dari atas bukit hingga ke kaki bukit, bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan air sejak beberapa tahun lepas.

    Beliau berkata kawasan kaki bukit itu sering menjadi tumpuan orang ramai untuk dapatkan air ketika berlaku gangguan air, termasuk semasa insiden Sungai Perai 18 Disember lepas yang mana penduduk di situ terputus bekalan air selama empat hingga lima hari.

    “Sebelum ini penduduk kena naik atas bukit untuk ambil air, kat situ (atas bukit) memang ada takungan mata air sebab itu kami pasang paip kira-kira 100 meter dari atas bukit hingga kaki lima bukit supaya lebih mudah untuk orang ramai nak dapatkan air.

    “Saluran paip itu dibawa terus ke tempat tadahan air di kaki bukit, jadi penduduk boleh mandi di sini juga, air memang jernih, tidak keruh dan tidak berbau, jadi selamat untuk masak dan minum…sini memang tumpuan penduduk ambil air,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Bagi Norhaslinda Samsuri beliau membawa anaknya datang mandi di situ, sebelum membawa balik beberapa tong air untuk kegunaan di rumah hari ini, kerana bekalan yang ada sudah hampir habis.

    “Sejak gangguan bekalan air Rabu lepas, hari-hari kena angkut air bagi penuh kerana air yang disimpan setiap hari tak cukup, sebab di rumah ada ramai…hari ni saya bawa anak mandi siap-siap di sini sebab tak larat nak angkut air banyak, ambil air untuk buat makan dan minum,” katanya air di situ bersih dan tidak pernah habis. – Bernama

    Muhammad Said, 60, menyejukkan badan dengan air bukit di kebun durian, Kampung Sepakat, Teluk Kumbar sebelum mendapatkan bekalan air bukit itu berikutan gangguan bekalan air, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda