BRASILIA, 9 APRIL – Dengan rundingan iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang pertama bakal diadakan di Amazon, ribuan penduduk Orang Asli berarak di bandar Brazil kelmarin menuntut agar kerajaan menjamin dan memperluaskan hak mereka ke atas tanah tradisi sebagai sebahagian daripada penyelesaian terhadap krisis iklim dunia.
Protes itu merupakan kemuncak kepada acara tahunan Perkhemahan Orang Asli Tanah Bebas, yang kini memasuki edisi ke-21. Dengan membawa mesej seperti ‘Hak Tanah Bersamaan Tindakan Iklim,’ peserta berarak menuju ke Dataran Tiga Kuasa, lokasi bangunan Kongres, Mahkamah Agung dan Istana Presiden di Brasilia.
“Wilayah Orang Asli adalah kawasan yang paling terpelihara dan memainkan peranan penting dalam memperlahankan krisis iklim yang sedang kita hadapi. Tetapi kami juga yang paling awal terjejas,” kata Luene Karipuna dari negeri Amapa di Amazon, semasa perarakan.
“Kami mengalaminya secara langsung di tanah kami, di mana kami kehilangan seluruh hasil tanaman ubi kayu makanan ruji dalam komuniti kami.”
Sebanyak 13 peratus daripada wilayah Brazil terdiri daripada tanah Orang Asli yang diiktiraf, kebanyakannya terletak di kawasan Amazon.
Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, lembangan Amazon telah mengalami kemarau terburuk dalam rekod, mengakibatkan peningkatan kebakaran hutan, pengasingan komuniti sungai, kerugian hasil tanaman serta kematian hidupan liar, termasuk ikan lumba-lumba merah jambu yang telah mengancam kepupusannya. Beberapa kajian mengaitkan cuaca ekstrem di rantau itu dengan perubahan iklim.
Seperti beberapa pemimpin Orang Asli lain, Karipuna merancang untuk menghadiri rundingan iklim yang turut dikenali sebagai COP30 pada November ini di bandar Belem dengan harapan acara itu menjadi peluang untuk memperjuangkan sempadan tanah dan hak Orang Asli di seluruh Amazon. – AP
