WASHINGTON, 1 Julai – Ribuan penunjuk perasaan membuat demonstrasi dalam keadaan cuaca panas di seluruh Amerika Syarikat (AS), semalam untuk membantah dasar imigresen kejam pentadbiran Presiden Donald Trump dan menggesa menemukan semula keluarga yang terpisah di sempadan dengan Mexico.
Bermula di hadapan Rumah Putih, penunjuk perasaan memenuhi taman Lafayette Square dalam perasaan marah dan sedih, sebelum berarak menuju ke arah bangunan Capitol.
Di Boston, Chicago, Los Angeles, New York dan Portland juga memperlihatkan demonstrasi yang sama, ketika bintang selebriti termasuk Alicia Keys dan Lin-Manuel Miranda mengikuti mereka di Washington dan John Legend, mengikuti demonstrasi di Los Angeles.
“Kami tidak percaya dengan (kewujudan) sempadan, kami tidak percaya dengan (kewujudan) dinding,” laung Sebastian Medina-Tayac dari Piscataway Indian Nation dalam Bahasa Inggeris dan Sepanyol semasa demonstrasi yang dinamakan ‘Keluarga Patut Bersama’ itu.
“Saya terlepas sembilan bulan dalam hidupnya dan ia sepatutnya tidak berlaku,” kata seorang wanita, yang hanya memberikan namanya sebagai Jocelyn. Kesnya telah bermula sebelum amalan pemisahan keluarga meningkat pada bulan Mei lalu.

“Malu! Malu!” orang ramai melaungkan ketidakpuasan mereka dalam suhu 33 darjah Celcius.
Presiden tidak dapat mendengar teriakan penunjuk perasaan, kerana dia menghabiskan masanya di Bedminster, New Jersey di Klub Golf Kebangsaan Trump.
Di sana juga, terdapat para penunjuk perasaan berkumpul di laluan kereta pengiringnya, kebanyakan mereka dengan membawa poster-poster tentang dasar imigresennya.
Trump mengeluarkan kenyataan melalui Twitter untuk mempertahankan pendiriannya terhadap dasar itu.
“Apabila orang masuk ke negara kita secara haram, kita mesti dengan segera mengeluarkan mereka tanpa melalui tindakan perundangan selama bertahun-tahun,” tulisnya.
Bermula pada awal Mei lalu, dalam usaha untuk menghentikan kedatangan puluhan ribu pendatang ke sempadan selatan AS setiap bulan, Trump memerintahkan penangkapan pendatang dewasa yang menyeberangi sempadan secara haram, termasuk mereka yang ingin memohon suaka. – AFP