Tuesday, April 29, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk bantah PBT lepas tangan

    TAWAU, 21 Okt – Lebih 100 penduduk Taman King Fook di sini hari ini mengadakan piket secara aman bagi membantah sikap pihak berkuasa yang tidak serius dalam menangani aduan mereka mengenai sistem kumbahan taman itu yang tersumbat.

    Menurut penduduk masalah sistem kumbahan kurang sistematik di taman yang mempunyai 234 unit kediaman itu telah berlarutan sejak tiga tahun lepas tetapi kali ini keadaan lebih teruk apabila najis memenuhi mangkuk tandas rumah dan mengambil masa lama untuk surut.

    Seorang penduduk, Ramlan Jamal mendakwa masalah saluran kumbahan tersumbat itu sudah dikemukakan kepada pihak Majlis Perbandaran Tawau sejak Feb 2017 sebelum diarah merujuk kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) ekoran bukan dibawah bidang kuasa MPT.

    “Bagaimanapun, apabila dirujuk ke JKR, alasan diberikan adalah tiada peruntukan (penyelenggaraan).

    “Kami setiap tahun membayar cukai pintu serta cukai kumbahan seperti yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi jawapan diberikan terhadap permasalahan kami mendukacitakan,”katanya.

    Beliau yang ditemui pemberita pada piket itu menyatakan rasa kesal dengan sikap lepas tangan pihak berkuasa tempatan.

    Dalam pada itu, Ramlan berkata pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah diharap dapat mengambil tindakan efisien sekali gus membantu menyelesaikan masalah kumbahan dihadapi penduduk taman berkenaan.

    “Begini caranya masalah kami ditolak, kami tidak mahu bayar caj kumbahan tetapi kami masih bayar.

    “Saya minta pihak berkuasa berkenaan kaji balik cukai kumbahan kerana (kami bayar) mereka tidak menyelenggara sistem kumbahan kami,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda