Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Penduduk bantah penswastaan jualan tiket Machu Picchu

    PERU, 26 JAN – Pengunjung ke tapak ikonik Machu Picchu di Peru kelmarin bertemu dengan penunjuk perasaan yang marah dengan kerajaan kerana menswastakan penjualan tiket di kubu kota Inca itu.

    Melancarkan apa yang digelar mereka sebagai ‘mogok tidak terhad’, pengendali pelancongan dan penduduk menutup kedai dan menyekat landasan kereta api pelancong, memaksa mereka yang berada di dalamnya untuk mengenakan jaket hujan dan berjalan sejauh tiga kilometer ke pintu masuk.

    “Kami menentang penswastaan sistematik Machu Picchu. Rakyat tidak bersetuju; syarikat (tiket) ini mendapat kontrak secara haram,” kata wakil masyarakat, Darwin Baca kepada AFP.

    Penunjuk perasaan tersebut memukul gendang, mengibarkan bendera dan menuntut agar menteri kebudayaan meletakkan jawatan.

    Sekumpulan penduduk tempatan mendakwa bahawa syarikat yang dianugerahkan kontrak untuk penjualan tiket itu, Joinnus, akan memperoleh sehingga AS$3.2 juta setahun dalam bentuk komisen daripada sistem baharu yang bermula pada Sabtu lalu.

    Menjelang waktu senja, polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan sekumpulan penunjuk perasaan yang menghalang laluan kereta api, menurut seorang wartawan AFP di tempat kejadian. Pihak berkuasa tidak melaporkan sebarang tangkapan.

    Operator kereta api, Ferrocarril Transandino mengumumkan akan menangguhkan perkhidmatan hari ini antara Ollantaytambo dan Machu Picchu berikutan pertikaian antara penunjuk perasaan dan polis.

    “Kami mengambil tindakan ini untuk melindungi penumpang dan pekerja kereta api selepas mengetahui gesaan untuk tindakan protes baharu oleh organisasi sosial,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan. – AFP

    Operator pelancongan dan penduduk mengadakan bantahan pada 25 Januari 2024 di landasan kereta api berhampiran Machu Picchu. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...