Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Laporan Akhir Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2024 menyatakan bahawa tenaga kerja di Negara Brunei Darussalam yang berumur 18 tahun dan ke atas adalah berjumlah 233,200 orang.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 95.3 peratus iaitu 222,300 orang merupakan penduduk yang bekerja, manakala selebihnya 4.7 peratus (10,900 orang) sedang mencari pekerjaan (penganggur).
Menurut kenyataan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), hari ini, bilangan penduduk bekerja mencatatkan peningkatan sebanyak 2.9 peratus, meningkat kepada 222,300 orang pada tahun 2024 berbanding 216,000 orang pada tahun 2023.
Pekerjaan dalam sektor awam dan swasta masing masing meningkat sebanyak 0.3 peratus dan 4 peratus.
Pertumbuhan pekerjaan dalam sektor swasta ini didorong terutamanya oleh perkhidmatan dan jualan (18.3 peratus), pembinaan (15.8 peratus) dan aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan (13.5 peratus).

Bagi pekerja tempatan, lebih separuh iaitu 58 peratus bekerja dalam sektor swasta, manakala 42 peratus bekerja dalam sektor awam.
Mengikut aktiviti pekerjaan, majoriti pekerja tempatan bekerja dalam bidang pentadbiran awam (26 peratus), diikuti oleh perdagangan borong dan runcit (12.6 peratus), dan pendidikan (12.1 peratus).
Manakala mengikut jenis pekerjaan pula, pekerja perkhidmatan dan jualan merangkumi 25.6 peratus daripada jumlah pekerja tempatan, diikuti oleh pekerjaan sebagai profesional (22.5 peratus), dan juruteknik dan profesional bersekutu (15.4 peratus).
Purata jam bekerja biasa dalam pekerjaan utama meningkat kepada 46.5 jam seminggu pada tahun 2024, berbanding 45.8 jam pada tahun sebelumnya.
Daripada jumlah penduduk bekerja, sebahagian kecil iaitu 1.9 peratus turut terlibat dalam pekerjaan atau aktiviti kedua.
Kadar pengangguran menurun daripada 5.1 peratus pada tahun 2023 kepada 4.7 peratus pada tahun 2024.
JPES turut menjelaskan majoriti penduduk yang menganggur berumur 18 tahun dan ke atas mempunyai pendidikan menengah dan ke bawah, iaitu seramai 5,900 orang atau 54.1 peratus daripada jumlah penduduk yang menganggur.
Selain itu, penduduk berumur 25 hingga 64 tahun merangkumi 59.6 peratus daripada jumlah penduduk yang menganggur.
JPES merakamkan penghargaan kepada semua isi rumah yang telah terpilih atas kerjasama mereka sepanjang tempoh kajian.
Laporan Akhir KTK 2024 boleh diperoleh di laman sesawang JPES. Untuk pertanyaan sila hubungi JPES di talian 7469844 waktu pejabat, atau e-mel ke info.statistics@jpes.gov.bn dan layari di laman sesawang deps.mofe.gov.bn