Friday, November 22, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk berpesta tangkap ikan, udang ‘mabuk sungai’

    ALOR SETAR, 23 SEPT – Kawasan tepi Sungai Anak Bukit terutama di Kampung Suka Menanti menjadi tumpuan orang ramai melakukan aktiviti menangkap ikan dan udang galah yang dikatakan sedang ‘mabuk sungai’ ekoran banjir.

    Seorang penduduk Muhd Aizat Adha Salleh, 29, berkata sejak malam tadi orang ramai berpusu-pusu di tepi sungai itu dengan membawa pelbagai peralatan menangkap ikan seperti sauk dan serampang ikan.

    “Sejak malam tadi lagi orang dah datang ke sungai apabila air sungai sedikit surut untuk menangkap udang galah dan ikan yang sedang mabuk sungai.

    “Ikan dan udang galah yang mabuk kerana kadar kekeruhan air akan bermain di tebing sungai dan kawasan cetek membuatkan ia mudah ditangkap,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Muhd Aizat berkata, dia dan sepupunya pergi ke tepi sungai yang terletak di belakang rumahnya pagi tadi dan berjaya menangkap kira-kira sekilogram udang galah dan beberapa ekor ikan.

    “Hasil tangkapan pagi tadi sudah dimasak, mak saya buat sambal udang dan ikan pula digoreng,” katanya.

    Mohd Ikhwan Hafiz Ridzuan pula berkata keadaan itu bukan sahaja menarik minat penduduk kampung di kawasan itu tetapi juga penduduk luar yang turut mengambil peluang ‘berpesta’ menangkap udang galah dan ikan.

    Dia berkata terdapat beberapa kawasan di tepi sungai itu yang diserbu orang ramai termasuk di Kampung Chegar selain beberapa kampung lain.

    “Saya rasa malam nanti lebih ramai yang akan datang untuk menangkap udang galah dan ikan,” katanya yang juga akan turun lagi ke sungai menyertai orang ramai. – Bernama

    Mohd Ikhwan (kanan) bersama sepupunya Mohd Aizat mencari udang galah dan ikan yang dikatakan ‘mabuk sungai’ di tepian Sungai Anak Bukit berhampiran rumah mereka ketika tinjauan banjir di Suka Menanti pada 23 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda